Peranan Pemuda Islam

presentation1
Pemuda digambarkan sebagai seseorang yang sedang melalui satu peringkat tumbesaran di mana kekuatan fizikal, mental dan spiritual berada pada tahap yang paling optimum. Zaman ini merupakan satu peringkat seseorang manusia mampu mencari resolusi terbaik buat menangani masalah yang didepani.

Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran .

Firman Allah :
Kami ceritakan kisah mereka kepadamu ( Muhammad ) dengan sebenarnya, maka sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. ( al- Kahfi : 13 )

SIAPAKAH PEMUDA ISLAM ?
Pemuda Mithali Sepanjang Zaman
Nabi Ismail a.s
Al-Quran jelas menceritakan kisah pengorbanan pemuda mulia ini yang sanggup menuruti perintah Allah seperti yang diimpikan oleh bapanya. Hatinya tidak terdetik untuk membantah perintah Allah. Ketaatan kepada agama anutannya adalah mutlak.

Hai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu. Hai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. ( as Saffat : 102 )
Nabi Yusuf a.s

Walaupun ditawarkan dengan keghairahan oleh wanita bangsawan yang jelita namun Nabi Yusuf tetap tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan.

Baginda lebih rela disumbat ke penjara dengan penuh kehinaan walaupun peluangnya untuk melepaskan diri terbuka luas jika baginda menuruti kehendak wanita tersebut. Antara dua ujian – ujian dunia ( dipenjara) atau ujian agama (zina),baginda memilih untuk menghadapi ujian dunia.

Aku mohon berlindung kepada Allah,sesungguhnya tuanku telah memperlakukan aku dengan baik,sesungguhnya tidak akan beruntung orang-orang zalim. (Yusuf: 23)

Ini merupakan dua contoh daripada ramai pemuda-pemuda Islam mithali yang seharusnya menjadi idola kepada pemuda Islam keseluruhannya.

Pertama : Tanggungjawab Memahami Islam

Tanggungjawab ini telah digariskan oleh agama. Pemuda-pemuda perlu mempelajari ilmu agama namun diwaktu yang sama tidak meninggalkan bidang pengkhususan masing-masing.

Pemahaman yang tepat terhadap Islam akan mengelakkan mereka daripada menambah perkara-perkara yang tidak bersangkutan dengan agama dan dinamakan dengan Bid’ah Hasanah. Pemahaman yang tepat juga mengelakkan pemuda-pemuda daripada mengurangkan dan mengubahsuaikan agama supaya menepati selera mereka.

Sabda Nabi S.A.W :
Barangsiapa yang melakukan sesuatu perkara baru dalam urusan kami ini, perkara yang tidak bersangkutan dengannya, maka ia tertolak.

Pemuda-pemuda harus membezakan antara perkara tunjang dengan cabang. Mereka juga sepatutnya mendahulukan perkara yang lebih utama berbanding perkara yang remeh temeh. Keupayaan membezakan antara halal dan haram, fardhu dan sunat, makruh dan harus sepatutnya menjadi pertimbangan pemuda-pemuda Islam.

Pemahaman ini tidaka akan diperolehi dengan tepat melainkan jika sumber yang digunakan adalah Al-Quran dan Sunnah, bukannya cerita-cerita Israiliyat, riwayat-riwayat dhaif, hadis-hadis ciptaan ataupun ilham peribadi.

Lantaran itu, belajar adalah satu perkara yang wajib dan menjadi wasilah untuk mendapat kefahaman yang jelas terhadap agama dan pengetahuan yang lain. Sebagai contohnya, pemuda-pemuda tidak lari daripada mempelajari hokum-hukum bersuci, sembahyang dan puasa.

Mereka juga tidak boleh lari daripada mempelajari hukum-hukum haji. Seandainya pemuda-pemuda ini seorang yang berharta maka wajar bagiya untuk mempelajari hokum zakat dan jika pemuda tersebut seorang usahawan maka wajib baginya mempelajari hokum-hukum yang berkaitan dengan keusahawanan.

Pemuda-pemuda juga harus belajar daripada pengalaman-pengalaman orang-orang terdahulu dan mengambil seerah Rasulullah sebagai panduan di dalam urusan hidupnya. Namun akibat kecuaian umat Islam suatu ketika dahulu, pemuda-pemuda lebih mengetahui sejarah barat. Malah memalukan kerana mereka engenali Napoleon lebih baik berbanding Nabi Muhammad S.A.W. Mereka tidak mengetahui melainkan kekejaman Islam dan terpesona dengan peradaban Barat.

Dari sinilah bertolaknya kewajipan pemuda-pemuda Islam untuk memahami Islam diajar secara berperingkat-peringkat. Begitulah juga dengan amalan untuk melaksanakan ajaran Islam. Pemuda-pemuda Islam bolehlah berpada dengan amalan fardhu, kemudian melakukan amalan sunat dan nawafil. Selepas itu mereka cuba untuk melengkapkannya dengan bangun malam dan melipatgandakan amalan-amalan sunat.

full-time-muslimDemikian jugalah dari segi meninggalkan tegahan Allah. Pemuda-pemuda Islam memulakannya dengan meninggalkan perkara-perkara yang jelas haram dan diikuti dengan perkara-perkara syubhat dan makruh dan akhir sekali meninggalkan kebiasaan perkara-perkara sia-sia yang mungkin pada pandangan umum merupakan kebiasaan yang tiada salahnya.

Dia patut memahami Islam sehingga dia mampu menolak sebarang bentuk keraguan dan salah faham terhadap agama Islam. Selain daripada itu, dengan pemahaman yang jitu pemuda-pemuda akan mampu untuk memahamkan orang-orang lain dan menangkis tohmahan orang-orang sesat.

Kedua : Tanggungjawab Beramal Dengan Islam

Pohon yang rendang tidak bermanfaat seandainya tidak mengeluarkan buah. Begitulah perumpamaan seorang yang berilmu tetapi gagal beramal dengan ilmunya. Janganlah pemuda Islam menjadi bahan tempelakan Allah seperti Allah menempelak bangsa-bangsa terdahulu yang menerima kitab samawi dan mereka belajar tentangnya tetapi tidak dengan ajaran yang dipelajarinya.

Firman Allah :
Perumpamaan orang-orang yang dipikul ke atas mereka Kitab Taurat , kemudian mereka tidak memikulnya (tidak beramal dengan kandungannya) adalah seperti kaldai yang membawa kitab-kitab tebal. Amat buruklah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu dan allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. ( al Jumu’ah : 5 )

Dakwah Islamiah lebih cepat tersebar melalui Qudwah yang baik yang terpancar melalui akhlak-akhlak dan perilaku umat muslimin. Seandainya pemuda Islam gagal untuk beramal dengan ajaran Islam yang telah dipelajari dan difahaminya, maka usaha penyebaran dakwah akan terbantut. Islam amat indah jika dibaca di dalam buku tetapi dek kerana kesilapan penganutnya yang enggan beramal dengan ajaran Islam secara total maka tampaklah keburukan umat Islam.

Amat menyedihkan umat islam kini tatkala mendengar kata-kata seorang Barat yang baru menganut agama Islam ; “ Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenali orang-orang Islam”.

Ketiga : Tanggungjawab Berdakwah Kepada Islam

Tidak cukup untuk seseorang pemuda memahami Islam dan berjaya membentuk dirinya menjadi seorang yang soleh tetapi dituntut daripada mereka untuk memikul beban dakwah Islam.

Firman Allah :
Hai anakku ! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah manusia mengerjakan kebaikan dan cegahlah ( mereka ) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah. (Luqman : 17 )

Dewasa ini kejahilan yang melata di dunia menuntut pemuda Islam untuk menjadi seorang pekerja agama buat mengembalikan manusia kepada pengalaman Islam yang mutlak. Tugas ini bukanlah satu tanggungjawab yang ringan dek kerana halangan-halangan daripada manusia sendiri yang bebal untuk menerima Islam sebagai agama yang sempurna. Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini pemuda Islam harus sedar bahawa tiada satu dakwah pun yang tidak akan ditentang. Pemuda Islam harus sedar tiada tugas yang lebih besar yang menanti mereka daripada melaksanakan tanggungjawab berdakwah ini.

Firman Allah : Siapakah yang lebih baik perkataan daripada orang menyeru kepada Allah, mereka mengerjakan amal soleh dan berkata “ Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang menyerah diri “. ( Fussilat : 33 )

Keempat : Tanggungjawab Bersatu Kerana Islam

Pemuda-pemuda Islam yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling Bantu membantu sesame pekerja Islam dan sama-sama berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pekerja-pekerja Islam bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam.

Sekiranya golongan kafir mampu untuk bersatu menentang Islam,kenapakah petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan saling bantu membantu untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah ?

Firman Allah :
Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu ( orang-orang Islam ) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu,nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar. ( al-Anfal : 73 )

Akhir kata inilah empat tanggungjawab yang mesti dilangsaikan oleh pemuda Islam. Mereka sepatutnya memeriksa setiaptanggungjawab ini di dalam dirinya; adakah semua tuntutan ini sudah ditunaikan ataupun pernahkah dia melaksanakan tanggungjawab ini ?. Berbanggalah mereka tatkala hari kemenangan Islam tiba dan mereka merupakan penolong agama allah.

Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia yang menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Pengasih ( ar- Rum : 4-5 )

Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam..pewaris Generasi Solahuddin al-Ayyubi…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s