Monthly Archives: November 2009

Syabab Qawi Penutup Tirai 2009

Aktiviti Syabab Qawi yang telah diadakan pada hari Sabtu 14 November 2009 yang lalu merupakan penutup tirai aktiviti Badar 2009. Ketangkasan dan kelincahan ahli-ahli pemangkin kepada kekuatan fizikal.

Melestarikan Iklim Dini Dalam Semua Aktiviti

 

Formula 1 & EAK

Pihak AJK Badar 2009 dan guru-guru penasihat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sdr. Muhammad Aiman Hazim b. Zamzuri ( BADAR F4) dan pasukannya atas kejayaannya mendapat tempat pertama pertandingan Eksplorasi Alam Kerjaya peringkat Kebangsaan yang telah diadakan di Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya pada 8-10 November 2009.

Tidak dilupakan juga pada Sdr. Danial Iman b. Che Khalib ( BADAR F4) atas kejayaan merangkul Johan Formula 1 Kebangsaan yang telah diadakan pada 18 November 2009.

Bersama Mendidik dan Berbakti..Lestarikan Budaya Berprestasi Tinggi…

Kepimpinan BADAR 2010..Lestarikan Iklim Dini

Barisan Kepimpinan BADAR 2010

Satu Tekad  Satu Hati Lestarikan Iklim Dini

Dari Kiri Duduk : Najmi, Syafiq Aizat ( Presiden 2010), U. Azizee, Ibrahim, Rais

Dari Kiri Berdiri : Iznel, Hanafi, Hazwan, Shafizal

Selamat Menempuh Peperiksaan SPM 2009

Pihak Badan Dakwah dan Rohani SDAR mengucapkan Selamat Menempuh Peperiksaan SPM 2009 kepada para pelajar SDAR 2009. Moga kalian beroleh kejayaan yang gilang gemilang.

Tidak dilupakan buat putera-putera Badar 2009, luncurkan semangat juangmu..patrikan pengorbananmu…hunuskan senjatamu…maralah ke hadapan bagaikan seorang perwira…jangan menyerah sama sekali…pencakkan gerak tari kekuatanmu…moga engkau dinobat sebagai juara …menggapai 10A+… bittaufeek wa an-najah….

Kiri Berdiri : Huzaifah, Najmi, Alim, Abid, Arif, Haziq, Syafiq, Naufal

Kiri Duduk : Hatta, Taufik ( Bekas Presiden Badar ), U. Azizee, Azfar, Mior Zainul Arif

Dakwah Untuk Semua

dakwah3

Dakwah adalah tujuan hidup terbesar bagi seorang mu’min. Dakwah bukan hanya menyeru manusia untuk solat 5 waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji sahaja. Dakwah juga tidak hanya terhad dalam menyeru manusia kepada aktiviti-aktiviti kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran sahaja, tetapi makna dakwah adalah dalam mengajak manusia seluruhnya untuk bebas daripada perhambaan sesama manusia dan menjadikan sistem Allah yang sempurna sebagai satu-satunya cara hidup bagi manusia seluruhnya.

Dakwah bukanlah hanya milik ustaz-ustaz lulusan Azhar, imam-imam dan AJK masjid, aktivis NGO Islam, dan badan-badan agama sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab bagi setiap muslim. Setiap muslim yang faham akan agamanya tidak perlu merasa malu untuk menerangkan tentang kebaikan Islam dengan apa jua cara sekalipun. Dakwah tidak hanya terhad setakat berceramah, berusrah, berqiamullail dan aktiviti-aktiviti masjid sahaja, dakwah adalah mengajar manusia tentang kesempurnaan Islam dalam segenap aspek kehidupan manusia.

6Setiap muslim boleh melakukan dakwah dengan cara masing-masing dan kemahiran masing-masing yang tersendiri. Ada yang mahir berkata-kata, berdakwahlah dengan lisan; ada yang mahir menulis, berdakwahlah dengan penulisan cerpen, syair, novel atau apa sahaja; ada yang mahir melukis, hasilkanlah karya-karya komik Islam yang membimbing manusia ke arah kebenaran; ada yang mahir dalam Adobe Photoshop, Flash atau 3D Max, berdakwahlah dengan kemahiran seni animasi yang dikurniakan; ada yang mahir bersosial melalui Facebook, Friendster, Twitter, Blogspot dan sebagainya, gunakanlah wasilah itu sebaiknya untuk dakwah; ada yang mahir bersukan, gunakanlah kemahiran sukan untuk dakwah.

Dakwah tidak semestinya dengan kata-kata atau penulisan sahaja, dakwah juga boleh hadir dalam akhlak yang baik di padang bola, teladan yang baik di laman Facebook, pakaian yang menutup aurat ketika bersosial, memelihara waktu solat ketika mesyuarat, lagu-lagu yang mengajak manusia kepada Tuhan dan seribu macam lagi kepelbagaian dakwah dalam segenap aspek kehidupan manusia.

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (An Nahl: 125-126).

Dakwah adalah milik semua dan untuk semua, tunggu apa lagi, jom berdakwah!

Ramai, namun biarlah bernilai

muslimat_resize

Jumlah penganut agama Islam di seluruh dunia kini sudah mencecah angka 1.57 billion, atau kira-kira satu perempat daripada keseluruhan populasi global. Demikian perangkaan terkini yang diperolehi hasil daripada kajian Pew Forum on Religion and Public Life (Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam), sebuah badan ’think-tank’ yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Kajian yang memakan masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan beberapa dapatan dan fakta yang menarik mengenai taburan penduduk Islam. Contohnya, satu perlima daripada keseluruhan penganut Islam tinggal di negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam. Ini termasuk Jerman yang didapati mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon.

Perkembangan positif ini jelas membuktikan penerimaan masyarakat di seantero dunia terhadap agama Islam meskipun pelbagai fitnah dan tohmahan telah cuba dilontarkan oleh musuh-musuh Islam. Dengan jumlah penganut yang meliputi 25% daripada keseluruhan penduduk dunia, kewujudan umat Islam di pentas global cukup signifikan dan suara mereka sama sekali tidak boleh dipinggirkan.

Dalam arus persaingan kuasa dan pengaruh hari ini, bilangan penganut yang ramai ini merupakan satu aset kekuatan yang amat berpotensi untuk menjadikan umat Islam sebagai satu bangsa yang dominan. Sekiranya 1.57 billion individu ini mampu bersatu di atas satu matlamat, nescaya umat Islam berupaya untuk bangkit sebagai satu kuasa pendesak atau pengimbang kuasa kepada negara-negara besar.

Bahkan sebenarnya nisbah seorang muslim bagi setiap empat orang tersebut sudahpun melebihi syarat kemenangan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. iaitu seorang muslim (yang sabar) kepada sepuluh orang kafir. Ukuran kekuatan berasaskan bilangan ini sekaligus menunjukkan kepentingan nilai kuantiti dalam konteks perjuangan dakwah Islam. Hal ini terkandung di dalam firmanNya yang bermaksud:

”Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti” (Al-Anfaal: 65).

Jika diukur dari segi nilai kuantiti, memang benar umat Islam memiliki kekuatan yang ampuh. Namun bilangan semata-mata bukan jaminan untuk meraih kemenangan sebagaimana acapkali dibuktikan oleh sejarah. Allah s.w.t sendiri selain meletakkan kayu ukur kekuatan dari segi kuantiti, turut menggariskan kriteria atau kualiti seorang muslim yang mampu berhadapan sepuluh orang musuh iaitu mukmin yang sabar.

Di sini penulis ingin mengajak para pembaca sekalian untuk sama-sama menilai kekuatan dan kualiti umat Islam dalam segenap aspek. Proses penilaian atau muhasabah ini penting untuk kita mendapat gambaran kekuatan umat Islam yang sebenar hari ini, supaya unsur-unsur kekuatan dapat dimanfaatkan sebaiknya sementara unsur-unsur kelemahan dapat diperbaiki mutunya.

1) Kekuatan politik – Umat Islam kini diibaratkan seperti ’anak ayam kehilangan ibu’ selepas jatuhnya khilafah Islamiyyah pada tahun 1924. Setelah itu wilayah Islam terpecah menjadi negara-negara kecil yang terpisah dari sudut geografi, pentadbiran dan identiti. Pergolakan politik merupakan senario biasa di kebanyakan negara Islam. Di sesetengah negara pula, golongan bukan Islam yang menguasai pentadbiran dalaman negara sementara pemimpin Islam sekadar menjadi boneka.

2) Kekuatan ekonomi – Negara-negara Islam khususnya di Asia Barat merupakan negara yang terkaya di dunia dengan pelbagai sumber ekonomi. Namun segala kekayaan ini seringkali dieksploitasikan oleh golongan bukan Islam akibat tiadanya kepakaran mahupun kemahuan untuk membangunkan sendiri sumber ekonomi yang melimpah ruah ini. Di kebanyakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, pencapaian ekonomi umat Islam masih jauh ketinggalan.

3) Kekuatan ilmu dan teknologi – Sejarah menukilkan bahawa para cendekiawan Islam adalah pelopor kepada ilmu-ilmu moden seperti kejuruteraan, perubatan, astronomi, fizik, kimia, matematik, ekonomi dan sebagainya. Namun kini umat Islam jauh ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan hingga sekadar menjadi penuntut kepada pakar-pakar bukan Islam di negara-negara bukan Islam. Umat Islam juga lebih selesa menjadi pengguna teknologi semata-mata, bukannya peneroka teknologi baru.

4) Kekuatan budaya – Sejak era Ghazwul Fikr lagi, Barat telah berusaha menyogokkan nilai-nilai dan budaya jahiliyyah kepada umat Islam melalui pelbagai mekanisme seperti pendidikan, media massa dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memalingkan umat Islam daripada cara hidup Islam yang sebenar. Implikasi yang dapat dilihat ketika ini ialah keterlarutan umat Islam dengan unsur-unsur hiburan yang melalaikan, sekaligus menjauhkannya daripada ruh jihad dan perjuangan memartabatkan Islam.

5) Kekuatan ketenteraan dan persenjataan – Umat Islam hari ini bukan saja diserang hebat dari segi budaya dan pemikiran, bahkan musuh-musuh Islam turut menekan sesetengah negara Islam dengan menggunakan kekuatan ketenteraan atas alasan memerangi ’terrorisme’. Kebanyakan negara Islam juga masih lagi memiliki kebergantungan terhadap kuasa-kuasa Barat sama ada dari aspek tenaga ketenteraan dan teknologi persenjataan.

6) Kekuatan ukhuwwah – Kesatuan umat Islam semakin terhakis oleh perasaan kebanggaan yang berpaksikan kenegaraan, kebangsaan, kedaerahan serta kesukuan yang telah membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama sendiri. Musuh-musuh Islam pula telah berjaya memprogramkan mentaliti dan rutin kehidupan orang-orang Islam agar disibukkan dengan keperluan diri sendiri sehingga hilang keprihatinan terhadap saudara-saudara seIslam di sekeliling mereka.

7) Kekuatan akhlak – Sistem kehidupan jelmaan Barat yang dipraktikkan oleh umat Islam telah mengundang kepada krisis keruntuhan akhlak yang begitu kritikal. Orang-orang Islam seolah-olah sudah hilang sensitiviti terhadap prinsip-prinsip akhlak Islam, sehingga tidak mampu membezakan antara kebaikan dan kemungkaran. Lebih merisaukan ialah berleluasanya unsur-unsur maksiat dan penzinaan yang dikhuatiri akan menghancurkan generasi Islam pada masa hadapan.

Berdasarkan analisa kekuatan dan kelemahan di atas, dapat disimpulkan bahawa umat Islam hari ini mungkin gah dari segi nilai kuantiti tetapi rapuh dari segi nilai kualiti. Justeru tidaklah menghairankan jika umat Islam ketika ini ketinggalan dalam arus persaingan dengan bangsa-bangsa yang lain. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat r.a. tentang umat akhir zaman yang bermaksud:

”Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, ”Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab,”Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, ”Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab, ”Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Dawud dan Ahmad).

Pelbagai simptom boleh dikenalpasti terhadap kelemahan umat Islam seperti cintakan dunia, malas berusaha, tiada wawasan hidup, gemarkan keseronokan, hasad dengki, kecetekan ilmu, muflis akhlak, gila kuasa dan sebagainya. Namun pada hakikatnya, masalah utama adalah berpunca daripada kelemahan jiwa umat Islam yang tandus daripada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Justeru apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah membina semula kekuatan umat Islam bertunjangkan keutuhan iman dan akidah yang berpaksikan ajaran Islam yang sebenar. Tiada guna kita bermegah dengan angka 1.57 billion yang besar tetapi nilainya tidak seberapa. Bak kata Syakib Arsalan Rahimahullah, seorang da’i ulung yang hidup di zaman kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah:

”Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan Palestin. Penulis-penulisnya mencadangkan agar diadakan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang Khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun seperti biasa aku akan menjawab: ”Kita wajib memulakan usaha Islam ini dari bawah, iaitu melalui TARBIYYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu kami mengumpulkan angka-angka kosong?”

Dari satu sudut kita sememangnya berbangga dengan bilangan penganut Islam yang besar dan tetap berterusan dengan kerja-kerja dakwah untuk menarik lebih ramai manusia kepada Islam. Namun yang lebih penting lagi ialah usaha-usaha pembinaan dan pentarbiyyahan peribadi-peribadi muslim yang berkualiti untuk mengembalikan semula kedudukan Islam di persada yang selayaknya.

Ditulis oleh :

Sdr. Firdaus  Sabturani www.ismaweb.net