Monthly Archives: December 2009

Tahniah …SDAR Cemerlang PMR 2009

Pihak Badan Dakwah dan Rohani SDAR ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelajar tingkatan 3 Sekolah Dato’ Abdul Razak atas kecemerlangan mendapat 8A PMR tahun 2009 (121 daripada 134 orang).

Tahniah juga buat penggerak Badar tingkatan 3 yang memperolehi 8A. Moga Allah terus memberikan keteguhan dan kekuatan dalam berdakwah.

Dakwah Cemerlang Akademik Terbilang…

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) — Seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lepas.

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di sini Khamis, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.

Beliau berkata calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.

“Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lepas,” katanya.

Alimuddin berkata prestasi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi sedikit menurun.

“Peratusan berbanding tahun lepas untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 peratus kepada 25.6 peratus tahun ini, BI pula menurun daripada 16.4 peratus kepada 16.1,” katanya.

Terdapat peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam bilangan pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik manakala bagi mata pelajaran Sains ia naik daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Alimuddin berkata untuk pelajar istimewa pula, daripada 134 yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tujuh orang mendapat Semua A.

Pelajar istimewa, Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Kedah, yang rabun, berjaya memperoleh 9A.

Dua lagi pelajar istimewa lain yang juga mengalami masalah rabun, Debbie Lim Huey Chin dari SMK Sultan Ismail dan Muhammad Azfar Firdaus Azlah dari SMK Dato Penggawa Barat di Johor Bahru, memperoleh 8A.

Sekolah harian terbaik termasuk SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Selangor, SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu, SMK Sultan Badlishah, Kulim, dan SMK Sultanah Asmah, Alor Setar serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, serta SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

SM Imtiaz, Besut, dan SM Imtiaz, Kuala Berang, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

Sumber : http://www.bernama.com/

10 pengajaran daripada peristiwa Hijrah

1-Mengambil sebab: Melalui hijrah Rasulullah dan Abu Bakar kita mendapati mereka menggunakan sepenuh kemampuan mereka untuk menjayakan hijrah. Dan inilah persediaan yang dituntut dari setiap mukmin, untuk mempersiapkan segala yang mereka mampu, dan apa jua yang di luar kemampuan tidak dituntut.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan”. (Al-Anfaal:60)

Namun kadang kala selepas mengatur strategi, kita dapati berlaku perkara-perkara yang di luar perancangan manusia. Ketika peristiwa hijrah, orang musyrikin telah tiba di rumah Rasulullah s.a.w sebelum waktu yang baginda jangkakan dan selepas baginda mengatur strategi mengikut jangkaan baginda s.a.w, orang-orang yang memburu mereka tiba di pintu Gua Thur, Suraqah dapat mengejar Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a, dan mereka bertembung dengan Buraidah Al-Aslami bersama kaumnya.

Tetapi pengajaran yang kita dapati di sini adalah sekiranya kita mengerahkan seluruh kemampuan dan mengambil asbab, Allah akan menyempurnakan kekurangan yang berlaku di luar jangkaan kita. Dengan itu, Allah s.w.t menutup mata-mata orang musyrikin sehingga mereka tidak nampak Rasulullah s.a.w keluar dari rumah baginda, Dia tidak membuatkan mereka menjenguk ke dalam gua, Dia menenggelamkan kaki kuda Suraqah ke dalam pasir dan mencampakkan rasa takut di hatinya, dan Dia jualah yang melapangkan dada Buraidah dan kaumnya untuk memeluk Islam.

2- Rasulullah tidak sekali-kali bergantung pada asbab dan meninggalkan Tuhan bagi asbab, sesungguhnya baginda mengetahui bahawa asbab tidak akan mendatangkan hasil kecuali jika Allah kehendaki. Oleh itu, selepas mengerahkan segala asbab dengan sempurna baginda menyertakan keyakinan yang tinggi bahawa apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku. Ini jelas daripada sabda baginda s.a.w: “Apa katamu bahawa di samping yang berdua itu ada yang ketiga iaitu Allah!”

Keyakinan baginda s.a.w juga jelas dari perbuatan baginda yang tidak banyak menoleh dalam perjalanan. Sesungguhnya baginda telah melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, dan apa yang Allah kehendaki pasti akan berlaku. Tanpa keyakinan seperti ini tidak mungkin Negara Islam akan tertegak.

3- Setiap detik kehidupan baginda s.a.w tidak pernah sunyi daripada sikap optimis, termasuk ketika perjalanan hijrah yang bahaya ini. Walaupun nyawa baginda s.a.w dan sahabatnya diancam ketika itu, baginda mengkhabarkan kepada Suraqah bukan sahaja tentang kemenangan Islam ke atas kaum Quraisy atau Arab, bahkan tentang jatuhnya kerajaan Kisra ke atas umat Islam dan harta Kisra menjadi harta ghanimah (harta rampasan perang).

4- Dalam setiap peringkat kehidupan dan setiap langkah dakwah baginda s.a.w kita dapati betapa baginda sangat mementingkan perihal teman. Baginda hidup di Mekah dengan sahabat-sahabatnya, keluar ke Thaif dengan teman, menemui delegasi berteman, mengikat baiah berteman, malah ketika hijrah baginda bertanya kepada Jibril a.s. tentang temannya berhijrah. Semua ini berlaku dalam keadaan baginda s.a.w seorang rasul yang hebat, namun setiap manusia memerlukan teman. Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk sentiasa mencari teman yang soleh sebagaimana sabda baginda: “Syaitan bersama seorang dan dia lebih jauh dari yang berdua”.

Walaupun Syaitan tidak mungkin dapat memperdayakan baginda s.a.w semenjak dadanya dibelah dan dibuang dari hatinya bahagian syaitan, serta Allah membantunya untuk menghadapi syaitan sehingga dia (syaitan) memeluk Islam dan mengajaknya ke arah kebaikan, namun Rasulullah s.a.w tetap mementingkan teman sepertimana yang diajarkan kepada kita melalui petunjuk sirahnya.

5- Hijrah ini menjelaskan kepada kita bagaimana seorang pemerintah yang hebat hidup dalam kesusahan rakyatnya. Baginda s.a.w berhijrah sepertimana mereka, diusir seperti mereka, penat seperti mereka,sedih seperti mereka, hidup bersama mereka merasai setiap keperitan dan pengorbanan mereka.

Boleh sahaja Allah s.w.t memindahkan baginda s.a.w dari Mekah ke Madinah menggunakan Buraq seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj, namun di manakah qudwah? Dari mana kita dapatkan teladan? Muslimin memerlukan jalan praktikal untuk membina ummah, jalan yang dalam kemampuan setiap orang muslim. Oleh itu Rasulullah s.a.w perlu melalui jalan ini walaupun penuh dengan halangan dan kepenatan.

6- Dakwah mengalir dalam darah Rasulullah s.a.w, baginda tidak pernah melepaskan peluang dan tidak terikat dengan keadaan untuk mengajak siapa sahaja yang baginda mampu. Sepertimana baginda menyeru Buraidah dan kaumnya kepada Islam. Baginda s.a.w tidak memikirkan jalan untuk melepaskan diri dari mereka, malah baginda menganggap bahawa Allah s.w.t mendatangkan lelaki itu dan kaumnya sebagai hadiah, pemberian, nikmat, ganjaran dan pahala yang tak terkira.

7- Pada hijrah ini kita dapati bahawa Abu Bakar As-Siddiq r.a bersedia untuk beramal kerana Allah dalam apa jua situasi dan pada setiap waktu dan tempat. Perkara yang paling utama dalam hidup beliau adalah keredhaan Allah s.w.t dan rasul-Nya. Tidak wujud dalam hidupnya perkataan ‘zuruf’ (situasi), bahkan beliau mengabaikan situasi yang berlaku dalam hidupnya kerana wujudnya situasi yang lebih besar, iaitu amal, usaha, pengorbanan dan jihad di jalan Allah s.w.t.

8- Kita juga dapati betapa cintanya Abu Bakar r.a kepada Rasulullah s.a.w dan bagaimana beliau tidak menunggu arahan ataupun permintaan, malah beliau berusaha dalam membuktikan cintanya kepada Rasulullah s.a.w dengan menyediakan tunggangan, menangis akibat gembira dipilih menjadi teman hijrah baginda, membersihkan gua, berjalan di depan dan belakang baginda bagi menjaga baginda, dan banyak lagi.

Beliau mencintai Rasulullah s.a.w dengan ikhlas, dan cinta kepada Rasulullah s.a.w adalah satu kewajipan. Barangsiapa yang mengutamakan cinta lain berbanding cinta kepada Rasulullah s.a.w, maka dia berada dalam bahaya yang besar. Sabda Rasulullah s.a.w: “Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga aku lebih dia cintai berbanding ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

9- Pemberian dan infaq As-Siddiq r.a, beliau mengambil 5000 dirham yang merupakan seluruh hartanya untuk dibelanjakan demi dakwah. Sebelumnya beliau membelanjakan 35000 dirham di jalan Allah, kemudian dia terus menginfaqkan hartanya di Madinah, dan ketika beliau menjadi khalifah, dan ketika beliau di pembaringan menanti maut. Sesungguhnya beliau r.a telah membeli syurga, dan pemuda yang memiliki sifat seperti ini berhak diredhai oleh Allah: “Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa, yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas, hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan demi sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya)” (Al-Lail: 17-21).

10- Tidakkah anda lihat bagaimana As-Siddiq r.a menggunakan seluruh keluarganya di jalan Allah? Beliau menggunakan anak lelakinya Abdullah untuk menyampaikan berita-berita, menggunakan Asma’ anak perempuannya untuk membawa makanan dan minuman, menggunakan Amir bin Fuhairah hambanya untuk menyembunyikan kesan-kesan tapak kaki. Sesungguhnya As-Siddiq r.a telah memindahkan cintanya terhadap dakwah ni kepada ahli keluarganya. Malangnya sesetengah pendakwah menghidap penyakit ‘uzlah dari keluarga’. Kita dapati mereka sangat aktif di luar rumah, kemudian mereka tidak melibatkan orang yang paling rapat dengan mereka untuk beramal demi Allah s.w.t., mereka tidak berusaha untuk membuatkan ahli keluarga mereka turut merasai kemanisan iman seperti yang mereka rasai. Ini merupakan satu salah faham yang amat besar dan pengabaian aulawiyat yang sangat dahsyat. Maka belajarlah daripada Abu Bakar r.a dan ingatlah: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipersoalkan (dipertanggung jawabkan) tentang rakyatnya”.