Monthly Archives: January 2010

Presiden BADAR ketuai Ikrar Watikah

25 Januari 2010 ,  Majlis Watikah Pelantikan Organisai Sekolah 2010 telah diadakan di Dewan Tun Razak. Antara organisasi tersebut ialah Badan dakwah dan Rohani ,Pembimbing Rakan Sebaya (PRS),  Pusat Sumber Sekolah, Briged Bestari, ahli Lembaga Koperasi, Ketua-ketua kelas dan Jawatankuasa Tertinggi Sistem Rumah. Para penerima watikah telah mengangkat ikrar sebagai simbolik bagi melakasanakan tugas yang diamanahkan oleh pentadbiran sekolah.

Tn. Pengetua Cemerlang di dalam ucapan beliau mengharapkan para pelajar yang memimpin organisasi sekolah agar dapat menjalankan amanah kepemimpinan dengan sebaik yang mungkin bagi melestarikan keterbilangan SDAR. Pemimpin berbeza dengan pengurus . Ini kerana pemimpin terlibat dalam proses mempengaruhi dan membuat keputusan keorganisasian. Beliau menggesa para pelajar meningkat kualiti kepemimpinan sebagai pemimpin.

Majlis diakhiri bacaan ikrar watikah pelantikan oleh Sdr. Ahmad Syafiq Aizzat b.Nazri Presiden BADAR Sdar 2010.

Kepimpinan itu satu amanah bukan satu kemuliaan…
“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinan yang kamu pimpin..” ( Hadis)

Motivasi Diri : Keliru Memilih Masa Depan

Allah menguji hambaNya dengan menimpakan musibah sebagaimana seorang menguji kemurnian emas dengan api (pembakaran). Ada yang ke luar emas murni. Itulah yang dilindungi Allah dari keragu-raguan. Ada juga yang kurang dari itu (mutunya) dan itulah yang selalu ragu. Ada yang ke luar seperti emas hitam dan itu yang memang ditimpa fitnah (musibah)” (HR. Ath-Thabrani)

“Aku bukannya minat melukis pun”, kata seorang rakan jurusan seni bina.

“Aku bukannya kreatif pun. Kalau kira-kira ni boleh la”, tambah seorang lagi.

Dalam keadaan suka duka menerima keputusan SPM, menjadi satu kebiasaan lepasan SPM konfius dengan pemilihan kerjaya. Barangkali terlalu banyak pilihan sehingga personaliti pun tidak nampak signifikannya setelah 11 tahun di alam persekolahan. Cita-cita lama entah hilang ke mana.

“Aku minat bidang seni ni. Apa ni.. Seni kulinari?”, kata seorang rakan yang sedang mengisi borang UPU.

“Ambil jelah. Asalkan ada seni”.

“Ey, tau tak seni kulinari tu apa?”, tanya saya tersenyum sinis.

“Seni kulinari ni seni masakanlah!” Dua-dua ketawa.

THE CONFUSE COMPLEX’

Kadang-kadang saya kasihan dengan pelajar yang dapat skor straight A, tetapi dapat kursus yang biasa-biasa, tak minat. Gara-gara tersalah isi borang, jadilah mangsa ‘lelong’ UPU dalam tawaran kursus-kursus yang kosong.

Sebenarnya, satu perkara yang normal jika konfius dalam situasi ini. Tetapi, lantaran begitu keliru inilah kadang-kadang tergopoh dalam membuat pilihan.

Dalam keadaan ini, tidak terlambat lagi pelajar lepasan SPM untuk mengenal diri. Di internet, banyak ujian-ujian personality career test yang diiktiraf dan dikaji. Dengan mengetahui secara mendalam signifikan dalaman, insyaAllah dapat memberikan keyakinan dalam membuat pilihan.

ASASI ATAU MATRIK?

Yang paling biasa berlaku, ramai yang memilih matrikulasi kerana 2 sebab. Yang pertama ikut rakan-rakan lama. Yang kedua kerana masih tidak pasti. Tetapi awas, kerana masuk ke matrikulasi masih belum selamat untuk kerjaya. Jika dapat pointer yang rendah, bersiap sedialah disumbat ke kursus ‘lelong’.

Satu pesanan saya, bagi yang dapat keputusan SPM yang cemerlang, elakkan masuk ke matrikulasi kerana dikhuatiri kerana persekitaran baru menyebabkan usaha tidak sama seperti di sekolah dahulu, dalam erti kata lain, pointer rendah. Tetapi, jika anda yakin untuk dapat skor dengan baik di matrikulasi, maka digalakkan kerana matrikulasi boleh dikatakan jalan pintas ke peringkat Sarjana Muda.

Asasi pula adalah matrikulasi yang disediakan oleh pihak universiti. Melalui asasi, pelajar akan lebih fokus dengan pembelajaran yang dipilihnya. Contoh, asasi perubatan akan belajar lebih khusus ketika asasi, berbanding dengan matrikulasi KPM yang hanya terbatas pada pembahagian sains hayat dan sains fizikal.

DIPLOMA KE SARJANA MUDA VS ASASI/MATRIKS KE SARJANA MUDA

Ketika mengisi borang UPU, banyak tawaran yang menyediakan diploma. Ada yang masih keliru dan teringin nak belajar cepat. Perlu diingat di sini, seorang profesional mana ada nak belajar cepat-cepat. Kalau anda mengambil diploma, biasanya tiada asasi, terus belajar antara tempoh 3 atau 4 tahun. Sijil diploma layak untuk bekerja.

Jika anda berhasrat untuk terus belajar ke peringkat sarjana muda JANGAN pilih diploma. Setelah selesai graduasi, ada tempoh paling kurang 6 bulan bercuti sebelum belajar ke peringkat sarjana muda. Ada kursus sarjana muda yang menetapkan pointer tertentu untuk meneruskan pengajian. Kursus sarjana muda sambungan diploma kebiasaannya akan dibahagi setengah tempoh pengajiannya.

Jadi, tempoh pengajiannya sebenar lebih lama jika menyambung pengajian berbanding bermula dengan asasi/matrikulasi.

Bagi yang mengambil asasi/matrikulasi, sijil ini tidak diterima untuk melayakkan anda bekerja. Anda akan terus ke pengajian universiti pilihan bagi matrikulasi, universiti tertentu bagi asasi.

KEKELIRUAN MEMILIH BIASISWA

Ramai yang salah faham bahawa biasiswa ditawarkan sebagai hadiah untuk pelajar cemerlang. Sebenarnya biasiswa memang ditawarkan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang DENGAN kontrak bekerja dengan syarikat yang menawarkan biasiswa itu dalam tempoh tertentu (ada sehingga 10 tahun). Jangan buntang mata dengan tawaran yang biasiswa yang begitu tinggi kerana dikhuatiri setelah grad, anda bekerja sampai tengah malam.

Biar bersusah-susah dulu baru senang. Bukan bersenang-senang baru rasa susah!


-Salah satu tempat persediaan luar negara bagi penerima biasiswa JPA, INTEC-

Pilihlah biasiswa MARA atau JPA. Bagi jurusan perubatan dan kejuruteraan, anda akan mengikat kontrak dengan bekerja di bawah kerajaan dalam tempoh tertentu di bawah tajaan JPA. MARA tidak perlu ikat kontrak, BONUS!

Bagi yang ingin dapatkan biasiswa, teruskan ghairah mencari peluang-peluang biasiswa ini. Kebanyakannya bakal pemilik biasiswa akan ditemu duga. Mulakan menguasai kemahiran ketika ditemu duga.

Biasiswa ini biasanya ditawarkan oleh syarikat tertentu bagi mengisi tenaga pakar sebagai employee mereka kelak. Persaingan sangat sengit. Kebiasaannya mereka menghantar pelajar-pelajar tajaan ini ke luar negara.

Bagi jurusan seperti saya ini, seni bina, tiada syarikat yang memerlukan orang macam kami. Hehe. Arkitek bekerja dengan syarikat kecil. Hanya satu sahaja biasiswa yang menawarkan, iaitu JPA. Ini duit rakyat ya.

DALAM NEGARA VS LUAR NEGARA

Sebenarnya pemilihan antara dalam atau luar negara adalah terpulang pada persediaan diri. Ada yang kerana dapat tawaran luar negara, walaupun kursus yang tidak diminati, dia tetap pergi. Ada juga yang tidak mahu kerana tak mahu pisah dengan keluarga. Saya menegaskan tawaran luar negara tak semestinya lebih baik dari dalam negara.

Kita ambil satu contoh, jurusan perubatan. Di Malaysia sebenarnya sistem perubatan kita sangat bagus. Di Universiti Malaya (UM), pelajar perubatan mesti mendapatkan pointer sekurang-kurangnya 3.8 CGPA, atau dihantarkan keluar negara. Di UKM, negara jurusan pergigian, negara kita pernah diiktiraf antara yang terbaik di peringkat antarabangsa.

Maka, tidak perlu terlalu mengidamkan luar negara.

Tetapi, bukanlah bererti saya tidak setuju. Ke luar negara bagus sebenarnya memberikan kita perspektif dan suasana baru di negara orang. Ketika itulah anda akan mengenal rasa sebagai masyarakat minoriti. Saya pernah dengar bekas pelajar luar negara menceritakan, terutama di negara-negara white skin, ketika itulah mereka merasakan perlu wujudnya suasana Islam bagi pelajar-pelajar.

Ia mengukir pelbagai pengalaman yang indah.

Untuk merasakan persekitaran ini, cuba-cubalah melayari blog sahabat-sahabat yang berada di perantauan. Tanya pendapat. Jika bersedia, buat yang terbaik di peringkat A level/Ausmat/International Baccelaurate (IB) dan sebagainya.

BUATLAH YANG TERBAIK

Kerana anda sahaja tahu signifikan kenapa anda berada di bumi ini. Anda sahaja yang memahami apa tuntutan, tanggungjawab, anda terhadap keluarga, bangsa dan agama.

Jangan tersilap.

Kerana saya juga keliru ketika keadaan ini dahulu. Saya juga cuba menilai siapa saya ketika itu. Saya juga hampir tersilap memilih kerjaya, (baca episod 11).

Jadilah pelita umat. Sedarilah kekhalifahan kita.

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat:

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”(Surah Al-Baqarah : 30)

Wallahu’alam

Dipetik dari blog Akmal Hakim http://senikehidupan.wordpress.com

Warna Warni BADAR bersama Putera Tingkatan Satu 2010

Pelajar Tingkatan Satu dalam Malam Ramah Mesra BADAR

Pihak BADAR SDAR telah menjalankan beberapa aktiviti sepanjang aktiviti Minggu Adaptasi Tingkatan Satu 2010. Aktiviti yang dijalankan menjuruskan kepada dua paksi besar iaitu :

a) Mewujudkan nilai taaruf dalam diri para pelajar melalui aktiviti secara kolektif.

b) Memantapkan personaliti sahsiah brpaksikan nilai-nilai hebat bersendikan agama.

Ustaz Mohd Azizee ketika mengendalikan slot 'Ubah Diri Ubah Dunia'

Berasaskan kepada dua paksi tersebut, seluruh penggerak Badar menggabungkan tenaga, idea dan kemahiran bagi menjayakan aktiviti tersebut dengan dibantu guru penasihat Badar Ust. Mohd Azizee b. Hasan.

"Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti mana ia mencintai dirinya' Ukhuwwah dulu, kini dan selamanya..

Tema aktiviti ialah ‘ Satu Taaruf Satu Ukhuwwah’. Moga warna-warni aktiviti ini mampu meledakkan nilai ukhuwwah dan taaruf yang tinggi.

Sesi Taaruf dalam kumpulan usrah bersama abang-abang Badar

Aktiviti 'Selimut Ajaib' bagi merapatkan ukhuwwah

Penggerak Badar yang bertindak sebagai fasilitator aktiviti

Presiden Badar Sdr. Ahmad Syafiq Aizzat memberikan kata-kata perangsang

Melukis peta dunia..kita adalah pemimpin dunia

Untuk memimpin dunia..bermula dengan individu (perubahan diri)

Sebiru hari ini..birunya bagai langit terang benderang...ukhuwwah abadan abada

Salam Taaruf Buat Pengetua Cemerlang SDAR

Pengetua Cemerlang Tn. Hj. Zakaria b. Md. Zin

Pada 18 Januari yang lalu telah diadakan majlis meraikan kedatangan pengetua baru SDAR iaitu Tn. Hj. Zakaria b. Md. Zin. Dalam ucapan beliau telah ditekankan 4 prinsip bagi menjana kecemerlangan organisasi sekolah iaitu :

1. Bekerja Keras

2. Bekerja secara konsisten

3. Berdisiplin

4. Nilai Taqwa

Harapan Tuan Pengetua Cemerlang agar 4 prinsip ini menjadi landasan penerokaan kejayaan SDAR seteruskan melestarikan iklim dan budaya berprestasi tinggi.

Pihak BADAR 2010 mengalu-alukan kedatangan Pengetua Cemerlang dan berdoa agar beliau diberikan kekuatan dan keupayaan bagi merealisasikan usaha menjana kecemerlangan SDAR.

 

 

Sehari Bersama Putera-Putera Baru SDAR

Sesi Tazkirah Tingkatan Satu

Selamat datang…Ahlan Wasahlan…Irashhaimasu kepada putera-putera baru SDAR. Sepanjang seminggu bermula dari 11 januari, pelbagai program disediakan untuk memberi pendedahan tentang budaya hidup di asrama SDAR.

Alhamdulillah, BADAR juga tidak terlepas untuk sama-sama mendedahkan tentang budaya hidup seorang mukmin dan juga iklim islami SDAR kepada putera-putera baru ini. Tanggal 15 januari 2010, satu program khas telah dirangka pihak sekolah untuk dikendalikan BADAR. Sebanyak 2 slot dijalankan pada hari tersebut. Slot-slot ini dijalankan secara usrah yang berbentuk aktiviti.

Penerangan Kaedah Solat Berjamaah Yang Betul

Slot pertama bermula pada petang hari dan dikendalikan sepenuhnya oleh AJK BADAR. Beberapa kumpulan dibentuk dan dikendalikan dalam usrah. Aktiviti ‘selimut ajaib’ yang menekankan rukun pertama usrah, ta’aruf telah dijalankan. Sesungguhnya pendedahan awal ini membawa satu ikatan persefahaman yang besar antara rijal baharu ini. Ukhuwwah Islamiyah dapat diterapkan di samping nilai-nilai usrah dapat diterapkan.

Alhamdulillah.Slot kedua pula bermula pada sebelah malam hari dan dikendalikan oleh Ustaz Mohd. Azizee sendiri serta dibantu AJK BADAR. Slot ini juga dijalankan secara usrah. Setiap ahli kumpulan dikehendaki melukis peta dunia dan hendaklah ditandakan kedudukan SDAR pada peta tersebut. Kemudian mereka dikehendaki melukis wajah seorang ahli usrah yang paling kacak juga pada kertas yang sama. Seterusnya para naqib mengoyak peta tersebut lalu ahli diminta mencamtumkan kembali seperti sediakala. Di sini dapat kita lihat apa motif sebenarnya yang cuba diterapkan ke setiap jiwa ‘kain-kain putih ini’. Jadi dalam membina sebuah kepemimpinan Islam bertaraf dunia (world class), ianya bermula dengan sebuah institusi kecil sebelum berkembang dan terus berkembang. Kita perlu membina kekuatan dalaman iaitu merubah manusia sebelum mula membina di luarnya.

Alhamdulillah, program ini berjalan dengan lancar dan sebagai penutupnya, pelajar sama-sama menyanyikan lagu tema slot ini iaitu ‘Sebiru Hari Ini’…

Teruskan Perjuangan….Majlis Jasamu Dikenang Budimu Disanjung

Seluruh  Jawatankuasa Kepimpinan Tertinggi Badar 2010 dan guru-guru penasihat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ayahanda tercinta Tn. Hj. Azam b. Md. Atan di atas kejayaan beliau memimpin SDAR ke mercu kegemilangan.

Semoga segala jasa dan bakti yang ditabur menjadi jariah di akhirat nanti. Kami seluruh ahli Badar SDAR mendoakan kesejahteraan dan kekuatan agar ayahanda terus berjuang  dan menjulang kegemilangan demi nasib anak bangsa menerusi wadah pendidikan ini.

Perpisahan bukan bererti nokhtah perhentian tetapi melangkah jauh ke hadapan..

Salam Perpisahan dari warga Badar SDAR 2010

Ukhuwwah Abadan Abada…

Antara Ilmu dan Hidayah

Sebagai seorang manusia biasa, kita semua mempunyai kesempatan yang sama. Dihadapan kita terpapar alternatif yang sama. Dan dihadapan kita juga terbentang dua jalan. Kita harus memilih satu jalan antara dua jalan tersebut. Kitalah yang memilihnya.

Antara jalan fujur(dosa) ataupun jalan yang mengarah keada takwa. Tidak ada keadaan yang memaksa kita melakukan keburukan dan tidak ada juga keadaan yang memaksa kita untuk melakukan kebaikan. Semuanya terpulang keada diri kita sendiri. Mungkin kita tahu, satu keadaan yang akan mengarahkan kita kepada bahaya.

Kita juga tahu jalan-jalan yang mengajak kepada kesalahan. Kita tahu bahawa jalan yang akan kita tempuh itu hulunya adalah dosa. Namun, tahu sahaja tidak menjadikan seseorang memiliki kualiti amal yang lebih baik. Hanya dengan tahu sahaja tidak menjadi syarat seseorang itu menjadi soleh. Ilmu pengetahuan tentang kebenaran, agama, dan kebaikan tidak selalu menjadikannya pasti mendapat hidayah.

Hal ini bukanlah penghinaan terhadap ilmu. Kerana ilmu pengetahuan tetap menjadi batu asas penting yang menentukan amal seseorang. Tanpa ilmu, amal akan menjadi sia-sia. Tanpa ilmu juga, sesuatu amal itu boleh mendatangkan mudharat dan bahaya.

Namun, dari skop yang lain, ilmulah yang akan memudahkan seseorang untuk menangkap signal hidayah. Kemudian, akan membimbingnya melakukan kebaikan. Namun, apa yang harus ditekankan disini ialah ilmu itu tidak menjadi jaminan seseorang akan menjadi soleh. Kerana apa?..kerana ilmu pengetahuan tidak pernah menjadi taruhan untuk seseorang itu menjalani kehidupan yang baik dan bahagia.

Lihat sahaja dua situasi ini. Dua sampel yang cukup mudah :

1) Seseorang yang wara’, baik, menjaga solat, taat ibu bapa dan sebagainya. Alhamdulilah, dia telah menunjukkan qudwah yang baik. Satu ketika, datang seseorang ingin bertanyakan keadaan umat Islam di tempat lain dan penjelasan hikmah gerakan dalam solat. Namun, dia hanya tunduk membisu, mendiam seribu bahasa.

2) Seseorang yang hidupnya berbudayakan barat, berseronok tanpa sibuk memikirkan masalah umat. Namun, jika diajukan soalan-soalan mengenai agama, dengan lantang dia menjawab dengan tepat. Malah, mampu berhujah dengan jawapan tersebut. Malangnya, hidupnya tidak selari dengan ilmu yang dia ada.

Itulah dua kontradoks yang ada dalam masyarakat kini. Kearifan seseorang itu tentang sesuatu ilmu, belum tentu menjadikannya seorang yang baik. Dan kejahilan seseorang itu belum cukup untuk melabelkannya sebagai pelaku dosa.

Namun, perkara yang jelas disini ialah kedua-duanya(arif dan jahil) akan memberikan satu pengaruh yang besar tehadap tindak tanduk seseorang. Saudara sekalian, Apa yang sepatutnya berlaku adalah apabila seseorang itu berilmu, maka secara tidak langsung akan meningkatkan darjatnya disisi Allah.

Hal ini kerana dia tahu bagaimana untuk mencari hidayah, dan dengan cara bagaimana Allah akan memberikan petunjukNya kepada sang hamba. Maka outputnya akan terhasil satu produk mukmin yang berkualiti yang mencapai standard di dunia dan akhirat. Pepatah ada mengatakan, kejayaan tidak datang bergolek, tidak juga melayang.

Begitu juga dengan hidayah. Malah kita yang perlu mencarinya. Mengetahui dimana lubuk-lubuk hidayah Allah akan muncul, mengenalpasti signal-signal hidayah itu menyala dan berusaha mendapatkannya. Bukannya hanya duduk diam mengharapkan petunjuk Allah datang.

Namun, boleh jadi juga hidayah itu datang sendiri tanpa kita sedari. Kerana kita berpegang pada firman Allah yang bermaksud, ‘Dia menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki’.

Saudaraku,

Bersyukurlah jika kita termasuk orang yang dikurniai pengetahuan tentang kebaikan. Bersyukurlah jika kita dibimbing oleh Allah untuk mengenal rambu-rambu kebaikan dan kesalahan. Bersyukurlah jika kita tergolong dalam kelompok orang yang lebih mengenal tuntutan Islam berbanding yang lain. Orang yang berilmu tinggi tidak semestinya digelarkan ulama’. Sedikit ataupun banyak ilmu yang kita miliki, seharusnya betul-betul mampu mengiringi setiap langkah kita dalam meniti hidup ini kearah yang lebih baik.

Ilmu adalah AMANAH. Ilmu juga adalah pelita yang sangat mampu untuk menerangi jalan mencapai hidayah Allah. Namun, tanpa kesedaran dan keperibadian yang cukup, ilmu itu boleh menjerumuskan seserang ke lembah dosa yang lebih jauh daripada orang yang tidak berilmu.

Sebagai pengakhirannya, ayuh! sama-sama kita teruskan pencarian ilmu dan hidayah. ‘Barangsiapa yang menepuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan buka jalan baginya jalan ke syurga. Dan semua penghuni langit, bumi, dan air akan memohon keampunan kepada Allah baginya. Orang yang berilmu lebih baik daripada seorang ahli ibadah laksana bulan disbanding bintang-bintang di langit. Ulama’ adalah pewaris Nabi’ (Abu Darda’)

Sdr. Hazrin b. Md. Zainal ( Bekas Ketua Lujnah Kaderisasi Badar 08)

http://nidauljihad.blogspot.com