Monthly Archives: May 2010

Bagaimana Melayari Internet Dengan Kebersamaan Allah

Salam sejahtera buat semua,

Alhamdulillah atas segala nikmat dan rezeki yang tidak terhitung daripadaNya. Syukur juga keran pada dunia hari ini kita mampu melakukan apa sahaja tanpa perlu bersusah payah dengan wujudnya teknologi yang serba canggih. Bak kata orang, dunia di hujung jari. Itulah internet.

Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan pembina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya. Internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat intraktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.Benarlah seperti firman Allah taala yang bermaksud:

Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.(an Nisa’ 165)
Dan firman maksudnya: dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.(al Baqarah 143).

Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.

Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali???.

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: “biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya”.

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.

1. Sesaorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.
2. Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret ke pada kematianya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.
3. Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan didunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata. Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru.
Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, keadaan dan setiap masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Merealisasikan kebersamaan ini seseorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan “muraqabah” dan “muhasabah” serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut dimana orang yang siuman menjadi bingung, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.(hadis riwayat Ahmad)

Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh. Amin ya Rabbal al- Amin.

Mohamad Hazrin b. Md. Zainal
Bekas Ketua Lujnah Kaderisasi Badar 2008
(Bakal melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar University dalam jurusan Syariah Islamiah)
Advertisements

Tawaran ke Luar Negara : Tahniah buat Ex-Badar 2009

Muhammad Hatta b. Hamzah

Tahniah buat pimpinan BADAR Sdar 2009 yang mendapat tawaran ke luar negara atas tajaan JPA , MARA atau persendirian.

Mohd Azfar  b. Mohammaddiah ( Timbalan Presiden Badar) sedang mengikuti persedian di Kolej Damansara Utama (KDU) untuk melanjutkan pelajaran ke Australia dalam bidang Fizik.

Muhamad Hatta b. Hamzah  ( bekas Setiausaha Agung  Badar) sedang belajar UPM  untuk persedian ke Mesir dalam bidang perubatan.

Muhamad Huzaifah b. Jusoh ( Bekas Ketua Lujnah Kaderisasi)  mendapat tawaran JPA  dalam bidang perubatan ke Jordan. Sekarang belajar di INTEC.

Mior Zainul Arif (bekas Bendahari Badar)  mendapat tawaran JPA ke India  dalam bidang perubatan dan akan melanjutkan pelajaran ke Kolej Teknologi Timur  Sepang.

Muhammad Najmi b. Abd. Latif ( bekas Ketua Lujnah Tugas-Tugas Khas) mendapat tawaran JPA ke India  dalam bidang perubatan dan akan melanjutkan pelajaran ke  Kolej Teknologi Timur  Sepang.

Afzal Eizaz b. Abd. Ghani ( bekas Ketua Lujnah Penerbitan dan IT) mendapat tawaran JPA untuk program berkembar dengan Penang Medical College dalam bidang Perubatan. Akan belajar persediaan di INTEC.

Alim  b. Nazri ( Bekas Ketua Lujnah Dakwah) mendapat tawaran MARA dalam bidang Perubatan. Persediaan IB di Kolej Mara Banting.

Pihak BADAR SDAR mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan anda semua.

” Akademik Cemerlang Dakwah Terbilang”

Selamat Hari Guru 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Warga pelajar dan pendidik sekalian,

Saban tahun , setiap 16 Mei seluruh warga pelajar dan pendidik menyambut Hari Guru. Kata pujangga “Guru ibarat lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain”. Ungkapan ini mengingatkan kita jasa dan sumbangan bakti para guru dalam mendidik dan membina sahsiah para pelajar.Tarikh 16 Mei dipilih sebagai tarikh keramat Sambutan Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan ketika itu.

Para pelajar sekalian,

Apabila kita berbicara tentang guru. Kita tidak lari dari memperkatakan tentang pelajar. Guru dan pelajar ibarat aur dengan tebing, isi dengan kuku. Ini menunjukkan keintiman dan keakraban antara guru dan para pelajar. Kejayaan dan kecemerlangan seorang pelajar bergantung kepada kehebatan seorang guru dalam mendidik dan membimbing para pelajar.

Sejarah telah merakamkan bahawa kejayaan sebuah negara bergantung kepada taraf dan kualiti pendidikan bangsa negara tersebut. Lantaran itu usaha membina kemajuan sesebuah negara bergantung kepada kejayaan dan kualiti para guru melaksanakan tugas mereka sebagai mudarris, muallim, murobbi dan mursyid.

Para pelajar sekalian,

Kini Sekolah Dato’ Abdul Razak  telah dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi(SBT). Usaha mengekalkan kecemerlangan ini terletak dibahu kita semua. Di atas pundak kitalah jatuh bangun sekolah tercinta ini. Seluruh warga pelajar dan pendidik mestilah berganding bahu sederap melangkah melestarikan kecemerlangan Sekolah Dato’ Abdul Razak.

Bersempena sambutan Hari Guru ini, marilah sama-sama kita meningkatkan kompetensi diri kita sebagai pelajar yang berwatak mandiri, bersahsiah tinggi, towering personality, berfikiran global dan berjiwa islami. Marilah kita menghargai jasa dan sumbangan bakti para guru kita yang tidak jemu-jemu mendidik dan membimbing kita.

Pihak Kepimpinan BADAR Sekolah Dato’ Abdul Razak ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ buat semua warga pendidik khususnya para guru Sekolah Dato’ Abdul Razak dibawah pimpinan ayahanda tercinta Tn. Hj. Zakaria b. Md. Zin. Semoga jasa dan bakti kalian menjadi amal jariah di akhirat nanti.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

(Usman Awang 1979)

Selamat Hari Guru…Guru Pembina Negara Bangsa

Sdr. Ahmad Syafiq Aizat b. Nazri
Presiden BADAR 2010

Selamat Menempuh Peperiksaan…Kecemerlangan Adalah Ketaatan Kepada Allah

Kecemerlangan Adalah Ketaatan Kepada Allah

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, guru yang paling baik dan penunjuk kebenaran kepada jalan ilmu.

Kecemerlangan dalam pelajaran mempunyai kepentingan yang amat besar dalam kehidupan muslimin. Bukankah para ulama Islam telah memberikan cahaya kepada alam ini melalui ilmu-ilmu mereka yang cemerlang seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Ibnu al-Nafis dan lain-lain. Oleh itu, setiap orang daripada kita hendaklah bertanya dirinya: Kenapa aku perlu cemerlang? Dia juga hendaklah bertanya, kenapa aku tidak cemerlang?

Bagi menjawab soalan ini, kita mendengar banyak jawapan yang dikemukakan oleh orang. Tetapi seorang muslim mempunyai jawapannya yang tersendiri kerana dia memiliki objektif yang mulia:

  • Saya mahu cemerlang kerana Allah: Ya! Saya mahu cemerlang kerana Allah, kerana Allah swt berfirman dalam surah al-An‘am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Maka seseorang muslim mengetahui bahawa seluruh kehidupannya adalah kerana Allah. Antara kehidupannya ialah pelajaran, ilmu dan kecemerlangannya.
  • Saya mahu cemerlang kerana keluarga dan kedua ibu bapa saya: Antara cara saya berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya ialah dengan menggembirakan mereka. Alangkah besarnya kegembiraan dan kebahagiaan mereka jika saya cemerlang dan berjaya mendapat markah paling tinggi.
  • Saya mahu cemerlang kerana diri saya sendiri: Setiap muslim mempunyai matlamat dalam kehidupannya. Jika dia mempunyai matlamat dan cita-cita yang tinggi, maka matlamat dan cita-citanya itu tidak akan tercapai melainkan dengan kecemerlangan.
  • Saya mahu cemerlang kerana ingin mengembalikan keagungan Islam: Mengembalikan keagungan Islam? Ya! Kerana ingin mengembalikan keagungan Islam. Keagungan Islam dahulu adalah melalui ilmu dan para ulama. Keagungan ini tidak akan datang kembali melainkan melalui para ulama yang benar, beriman dan ikhlas kerana Islam dan umat Islam, ulama dan ilmuan dalam pelbagai bidang yang bermanfaat.

Beberapa Pesanan Sebelum Anda Mengulangkaji Pelajaran

Wahai saudaraku yang dikasihi! Kami membentangkan kepada anda beberapa sarana yang membolehkan anda mengulangkaji dengan berkesan:

  1. Mengerjakan sembahyang hajat dua rakaat sebelum mengulangkaji agar Allah memberikan pertolonganNya kepada anda.
  2. Membaca al-Quran sebelum memulakan ulangkaji, kerana ia akan menjauhkan syaitan daripada anda dan wajah anda akan dipenuhi dengan cahaya al-Quran.
  3. Mulakan dengan berdoa.
  4. Buatlah perancangan terlebih dahulu, seperti anda menentukan apakah subjek-subjek yang akan diulangkaji, tajuk-tajuk dan masa bagi setiap subjek dengan membuat jadual yang lengkap.
  5. Mulakan dengan subjek-subjek yang mudah terlebih dahulu, kemudian barulah berpindah kepada subjek-subjek yang sukar.
  6. Jangan tangguhlah kerja hari ini kepada esok hari. Anda hendaklah sentiasa mengulangkaji subjek yang anda pelajari pada hari yang sama.
  7. Peruntukkan waktu yang mencukupi untuk berehat. Tetapkan satu hari setiap minggu bagi anda berehat dan berhibur.
  8. Pilihkan tempat yang tenang dan jauh daripada sebarang gangguan serta ambil beratlah tentang masalah pencahayaan yang mencukupi, begitu juga dengan masalah kesihatan.
  9. Cuba sedaya upaya untuk mengosongkan fikiran anda daripada sebarang permasalahan atau kesibukan sebelum mengulangkaji pelajaran.
  10. Ambil beratlah tentang cara duduk yang betul iaitu belakang anda hendaklah lurus.
  11. Segeralah pergi menunaikan sembahyang sebaik sahaja anda mendengar azan, kerana Allah swt tidak akan memberkati pekerjaan yang melalaikan daripada sembahyang.
  12. Selangkan di antara satu subjek dengan subjek lain yang anda ulangkaji dengan satu kadar masa yang mencukupi untuk berehat.

Bagaimana Anda Bersedia Menghadapi Peperiksaan

Dr ‘Ata Barakat berkata:

Agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan, anda perlu melakukan dua perkara yang penting:

Pertama: Penguasaan yang baik

Ini berlaku melalui empat perkara berikut:

  1. Anda terus mengulangkaji subjek yang anda pelajari sepanjang tahun sebaik sahaja selepas anda mempelajarinya. Janganlah anda tangguhkan sedikitpun meskipun sedikit.
  2. Ulangkaji pelajaran terdahulu sebelum memulakan pelajaran baru.
  3. Melakukan ulangkaji mingguan dengan membaca semula secara pantas pelajaran-pelajaran yang sudah diulangkaji pada minggu tersebut.
  4. Membuat ulangkaji pada masa cuti dan juga secara bulanan.

Kedua: Ulangkaji yang intensif sebelum peperiksaan

Ia juga boleh dilakukan melalui empat langkah berikut:

  1. Menyusun segala maklumat di dalam fikiran anda dengan susunan yang baik dan sistematik.
  2. Memilih waktu yang sesuai untuk mengulangkaji, iaitu setiap subjek mempunyai waktu yang khusus. Jika anda merasa jemu, anda boleh mula menyelesaikan soalan-soalan matematik.
  3. Membuat jadual waktu yang baik dan tersusun agar setiap subjek mempunyai jangkamasa waktu yang sesuai dan tidak mengganggu waktu yang diperuntukkan untuk subjek yang lain.
  4. Menjawab banyak soalan dan menyelesaikan banyak permasalahan terutamanya soalan-soalan yang sukar.

Doa untuk Mengulangkaji Pelajaran

Doa memulakan ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”

Doa selepas mengulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”

Doa Pada Hari Peperiksaan

Dicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:

1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

2. Ketika menerima kertas soalan:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”

3. Ketika sukar menjawab:

ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”

4. Atau:

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.

Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

5. Jika anda terlupa jawapan:

اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.

Selamat Menempuh Peperiksaan

Lujnah Dakwah
BADAR 2010

Mantan Ketua Lujnah Penerbitan BADAR Penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2009

Sdr Afzal Mantan Ketua Lujnah Penerbitan Badar 2009 sedang menerima anugerah Pelajar Terbaik SPM 2009

Sdr. Afzal Eizaz b. Abd. Ghani , bekas Ketua Lujnah Penerbitan Badar 2009 telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2009. Beliau telah mendapat 8A+ 1A di dalam peperiksaan SPM yang lalu. Beliau telah menerima anugerah yang telah disampaikan oleh Pn. Aisah bt. Samah Pengarah Bahagian Pengurusan SBP .

Bekas pimpinan dan penggerak Badar 2009 yang menerima hadiah sempena Hari Anugerah Kecemerlangan SDAR

Turut serta menerima anugerah sempena Hari Kecemerlangan Sekolah Dato’ Abdul Razak ialah Sdr. Ahmad Azfar , Sdr. Abdul Alim, Sdr. Mior Zainul Arif, Sdr. Muhamad Najmi, Sdr. Huzaifah, Sdr. Syafiq dan Sdr. Azriq.

Persembahan Nasyid yang diketuai oleh Presiden Badar Sdr. Ahmad Syafiq Aizat

Pihak BADAR 2010 mengucapkan setinggi tahniah di atas kecemerlangan penggerak Badar 2009 di dalam pencapaian akademik sama ada peringkat PMR mahu pun SPM. Tidak lupa juga pada penggerak Badar yang cemerlang di dalam subjek-subjek akademik yang lain.

Pada kesempatan ini juga pihak Badar mengucapkan tahniah kepada Sdr.Huzaifah b. Muhammad Jusoh Bekas Ketua Lujnah Kaderisasi yang menerima tawaran menyambung bidang pergigian di Jordan.

Semoga penggerak Badar sentiasa cemerlang akademik dalam usaha melonjakkan kecemerlangan Sekolah Dato’ Abdul Razak.

“Akademik Cemerlang Dakwah Terbilang”

Ikhlas dari :

Sof Kepimpinan BADAR SDAR 2010

Galeri Kem Tunas Muda ’10