Selamat Menempuh Peperiksaan…Kecemerlangan Adalah Ketaatan Kepada Allah

Kecemerlangan Adalah Ketaatan Kepada Allah

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, guru yang paling baik dan penunjuk kebenaran kepada jalan ilmu.

Kecemerlangan dalam pelajaran mempunyai kepentingan yang amat besar dalam kehidupan muslimin. Bukankah para ulama Islam telah memberikan cahaya kepada alam ini melalui ilmu-ilmu mereka yang cemerlang seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Ibnu al-Nafis dan lain-lain. Oleh itu, setiap orang daripada kita hendaklah bertanya dirinya: Kenapa aku perlu cemerlang? Dia juga hendaklah bertanya, kenapa aku tidak cemerlang?

Bagi menjawab soalan ini, kita mendengar banyak jawapan yang dikemukakan oleh orang. Tetapi seorang muslim mempunyai jawapannya yang tersendiri kerana dia memiliki objektif yang mulia:

  • Saya mahu cemerlang kerana Allah: Ya! Saya mahu cemerlang kerana Allah, kerana Allah swt berfirman dalam surah al-An‘am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Maka seseorang muslim mengetahui bahawa seluruh kehidupannya adalah kerana Allah. Antara kehidupannya ialah pelajaran, ilmu dan kecemerlangannya.
  • Saya mahu cemerlang kerana keluarga dan kedua ibu bapa saya: Antara cara saya berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya ialah dengan menggembirakan mereka. Alangkah besarnya kegembiraan dan kebahagiaan mereka jika saya cemerlang dan berjaya mendapat markah paling tinggi.
  • Saya mahu cemerlang kerana diri saya sendiri: Setiap muslim mempunyai matlamat dalam kehidupannya. Jika dia mempunyai matlamat dan cita-cita yang tinggi, maka matlamat dan cita-citanya itu tidak akan tercapai melainkan dengan kecemerlangan.
  • Saya mahu cemerlang kerana ingin mengembalikan keagungan Islam: Mengembalikan keagungan Islam? Ya! Kerana ingin mengembalikan keagungan Islam. Keagungan Islam dahulu adalah melalui ilmu dan para ulama. Keagungan ini tidak akan datang kembali melainkan melalui para ulama yang benar, beriman dan ikhlas kerana Islam dan umat Islam, ulama dan ilmuan dalam pelbagai bidang yang bermanfaat.

Beberapa Pesanan Sebelum Anda Mengulangkaji Pelajaran

Wahai saudaraku yang dikasihi! Kami membentangkan kepada anda beberapa sarana yang membolehkan anda mengulangkaji dengan berkesan:

  1. Mengerjakan sembahyang hajat dua rakaat sebelum mengulangkaji agar Allah memberikan pertolonganNya kepada anda.
  2. Membaca al-Quran sebelum memulakan ulangkaji, kerana ia akan menjauhkan syaitan daripada anda dan wajah anda akan dipenuhi dengan cahaya al-Quran.
  3. Mulakan dengan berdoa.
  4. Buatlah perancangan terlebih dahulu, seperti anda menentukan apakah subjek-subjek yang akan diulangkaji, tajuk-tajuk dan masa bagi setiap subjek dengan membuat jadual yang lengkap.
  5. Mulakan dengan subjek-subjek yang mudah terlebih dahulu, kemudian barulah berpindah kepada subjek-subjek yang sukar.
  6. Jangan tangguhlah kerja hari ini kepada esok hari. Anda hendaklah sentiasa mengulangkaji subjek yang anda pelajari pada hari yang sama.
  7. Peruntukkan waktu yang mencukupi untuk berehat. Tetapkan satu hari setiap minggu bagi anda berehat dan berhibur.
  8. Pilihkan tempat yang tenang dan jauh daripada sebarang gangguan serta ambil beratlah tentang masalah pencahayaan yang mencukupi, begitu juga dengan masalah kesihatan.
  9. Cuba sedaya upaya untuk mengosongkan fikiran anda daripada sebarang permasalahan atau kesibukan sebelum mengulangkaji pelajaran.
  10. Ambil beratlah tentang cara duduk yang betul iaitu belakang anda hendaklah lurus.
  11. Segeralah pergi menunaikan sembahyang sebaik sahaja anda mendengar azan, kerana Allah swt tidak akan memberkati pekerjaan yang melalaikan daripada sembahyang.
  12. Selangkan di antara satu subjek dengan subjek lain yang anda ulangkaji dengan satu kadar masa yang mencukupi untuk berehat.

Bagaimana Anda Bersedia Menghadapi Peperiksaan

Dr ‘Ata Barakat berkata:

Agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan, anda perlu melakukan dua perkara yang penting:

Pertama: Penguasaan yang baik

Ini berlaku melalui empat perkara berikut:

  1. Anda terus mengulangkaji subjek yang anda pelajari sepanjang tahun sebaik sahaja selepas anda mempelajarinya. Janganlah anda tangguhkan sedikitpun meskipun sedikit.
  2. Ulangkaji pelajaran terdahulu sebelum memulakan pelajaran baru.
  3. Melakukan ulangkaji mingguan dengan membaca semula secara pantas pelajaran-pelajaran yang sudah diulangkaji pada minggu tersebut.
  4. Membuat ulangkaji pada masa cuti dan juga secara bulanan.

Kedua: Ulangkaji yang intensif sebelum peperiksaan

Ia juga boleh dilakukan melalui empat langkah berikut:

  1. Menyusun segala maklumat di dalam fikiran anda dengan susunan yang baik dan sistematik.
  2. Memilih waktu yang sesuai untuk mengulangkaji, iaitu setiap subjek mempunyai waktu yang khusus. Jika anda merasa jemu, anda boleh mula menyelesaikan soalan-soalan matematik.
  3. Membuat jadual waktu yang baik dan tersusun agar setiap subjek mempunyai jangkamasa waktu yang sesuai dan tidak mengganggu waktu yang diperuntukkan untuk subjek yang lain.
  4. Menjawab banyak soalan dan menyelesaikan banyak permasalahan terutamanya soalan-soalan yang sukar.

Doa untuk Mengulangkaji Pelajaran

Doa memulakan ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”

Doa selepas mengulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”

Doa Pada Hari Peperiksaan

Dicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:

1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

2. Ketika menerima kertas soalan:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”

3. Ketika sukar menjawab:

ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”

4. Atau:

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.

Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

5. Jika anda terlupa jawapan:

اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.

Selamat Menempuh Peperiksaan

Lujnah Dakwah
BADAR 2010

4 responses to “Selamat Menempuh Peperiksaan…Kecemerlangan Adalah Ketaatan Kepada Allah

  1. ..seperkara lagi ingatlah akan Qadar dan Qadha Allah, sekiranya anda telah melakukan perkara yg dinyatakan dalm artikel tersebut dan hasilnya anda masih tidak cemerlang..sesungguhnya itu lah ketetapan Allah..

  2. akan menduduki upsr pd 21,22,23 2010

  3. Salam cikgu..mohon izin untuk menggunakan ucapan cikgu kepada pelajar2 saya di sekolah…mudah2an semua mendapat berkat..amin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s