Nilai Waktu Dalam Kehidupan Muslim

Salam sejahtera untuk semua,

Seandainya ada soalan yang menanyakan, ‘apakah yang paling berharga dalam kehidupan anda?’. Apakah jawapan yang akan kita berikan?. Harta? Anak-anak? Kecantikan? Ilmu? Kesihatan?. Mana satu yang akan kita jawab?

Mungkin segala sesuatu itu dapat dikatakan berharga, namun tidak ada yang paling berharga. Semuanya tidak ada yang menyamai berharganya waktu dalam kehidupan kita. Memang benar, sesuatu yang paling berharga dalam kehidupan kita setelah keislaman kita adalah waktu.

Sebab itulah kita melihat banyak ayat-ayat Allah bersumpah mengenai masa ataupun zaman. ‘Demi Masa’, Demi Fajar’, ‘Demi Malam apabila menutupi dan siang apabila terang benderang’ merupakan contoh yang Allah bersumpah dengan masa. Namun, apakah signifikannya masa ataupun waktu ini kepada seorang manusia terutama sebagai seorang Muslim.

Saudara sekalian,

Apakah kita tahu bahawa satu penemuan penting yang menjadi perhatian kaum Muslimin di awal kegemilangannya adalah jam? Kaum Muslimin pada saat itu sangat memerhatikan masalah waktu lalu mengembangkannya, meletakkannya di lapangan umum dan juga di ruangan istana. Jam, waktu adalah sesuatu yang sangat berharga di hati kaum Muslimin sebenarnya.Mengapa? Kerana kehidupan kaum Muslimin terikat dengan waktu. Seorang yang mengaku dia seorang Muslim, hidupnya akan terikat dengan syariat Allah. Dia harus menghargai waktu dalam kehidupannya.

Perhatikan kisah pertemuan Amru Khalid dengan seorang asing.
Beliau(Amru Khalid) dan seorang asing tersebut mengadakan janji untuk bertemu di suatu tempat. Beliau sedikit terlewat sampai di tempat yang dijanjikan. Ketika bertemu dengannya, dia(orang asing) segera bertanyakan kepada beliau. ‘Apakah anda seorang Muslim?’ beliau menjawab, ‘Benar’. Dia kembali bertanya, ‘Apakah anda menunaikan solat? Beliau menjawab, ‘Benar’. Dia bertanya kembali, ‘Apakah anda berpuasa di bulan Ramadhan?’ Beliau menjawab ‘Benar’. Dia bertanya lagi, ‘Apakah anda menunaikan ibadah haji?’ Jawab beliau, ‘ Ya’. Dia bertanya kembali, ‘Apakah anda menunaikan solat Jumaat tepat pada waktunya?’ Jawab beliau, ‘Tentu”.Pada saat itu, dia berkata. ‘Urusan kaum Muslimin mengagumkan sekali.

Agama mereka mengajarkan urusan-urusan besar. Namun, mereka tidak memerhatikan pentingnya urusan-urusan itu’. Begitulah katanya. Amru Khalid merasakan seolah-olah dia berkata kepada beliau, ‘Engkau bukanlah orang beragama. Kerana anda tidsk mengetahui betapa berharganya waktu’. Inilah satu sampel yang boleh kita lihat sehinggakan orang asing lebih mengerti berhargnya waktu itu kepada umat Islam berbanding penganutnya sendiri.

Ikhwah sekalian,

Sesungguhnya umat Muslimin mempunyai banyak kelebihan. Islam mengajar umatnya mengatur masa dengan begitu cantik. Dari siang hari untuk mencari kehidupan hinggalah malam yang menjadi pakaiannya. Dengan adanya solat lima waktu, puasa, haji dan lain-lain lagi menjadikan individu Muslim lebih bijak untuk mengurus masa agar semua kepentingan dapat dipenuhi. Yang nyata, prioriti kepada Allah mendahului segala-galanya.

Jadi, adakah kita seorang Muslim? Dan adakah kita telah mengetahui betapa pentingnya waktu dalam kehidupan kita? Amat rugilah kita jika kita seorang Muslim tetapi tidak berpegang teguh akan nilai, ajaran serta kepentingannya. Oleh itu, sama-sama kita tingkatkan iman, teguhkan pendirian, perbaiki kesilapan dan urusan agar menjadi Muslim yang menjaga waktu. Sekian.

Sdr. Mohd Hazrin b. Md.Zainal http://www.nidauljihad.blogspot.com
( Ketua Lujnah Kaderisasi Badar 2008 – Bakal Melanjutkan Pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah Islamiah)

Leave a comment