Monthly Archives: July 2010

Sekalung Tahniah buat Presiden Badar ..Teruskan Perjuangan

Presiden Badar Sdr. Ahmad Syafiq Aizat

Seluruh AJK Tertinggi dan Penggerak Badar SDAR mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sdr. Ahmad Syafiq Aizat b. Nazri atas kejayaan mendapat Johan Pertandingan Pidato Diraja Peringkat Negeri Sembilan.

Pertandingan tersebut telah diadakan pada 21 Julai 2010 di SMK Kg. Baru Si Rusa Port Dickson Negeri Sembilan.Hadiah telah disampaikan oleh Ybhg. Dato’ Abdullah b. Muhammad Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan.

Beliau akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Wilayah Persekutuan nanti.

Galeri Badar SDAR di KONDAQ

Badar Sdar di Konsert Demimu Al-Aqsa

Nilai 17 Julai – Badar SDAR telah menghadiri dan menyertai Konsert Demimu Al-Aqsa (KONDAQ) yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai.Kira-kira 3000 hadirin yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Stadium Tertutup Nilai bagi menyatakan sokongan padu buat Palestin dalam Konsert Demimu Al-Aqsa yang sedang berlangsung ketika ini.


Konsert Demimu Al-Aqsa ini dianjurkan secara bersama oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seremban, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Aman Palestin Berhad, Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Konsert yang diadakan untuk menanam kesedaran dan kefahaman rakyat Malaysia tentang isu Palestin ini menampilkan pelbagai agenda menarik seperti persembahan nasyid oleh kumpulan Shoutul Harakah, Mestica, Daei dan Interaksi, deklamasi puisi oleh Dr Lim Swee Tin dan Nisah Haron, pidato oleh Presiden PEMBINA, tayangan multimedia dan pameran.

Program pada malam tersebut juga telah berjaya mengumpul sumbangan untuk Palestin daripada orang ramai yang hadir sebanyak RM20,751.

Rata-rata penggerak Badar berpuas hati dengan penganjuran konsert ini kerana ia menampilkan kelainan dalam menyedarkan isu Palestin. Persembahan mantap kumpulan Shouhar (Shoutul Harakah) yang didatangkan khas dari Indonesia telah membakar semangat para hadirin yang hadir terutama generasi muda dan para pelajar.

Sdr. Ahmad Syafiq Aizat selaku Presiden Badar berharap agar penampilan konsert ini dikekalkan bagi menyemarakkan kesedaran membela perjuangan umat Palestin menerusi wadah nasyid dan kesenian Islam. Beliau menasihatkan para penggerak Badar Sdar agar memanfaatkan ruang dan peluang agar turut sama merasai penderitaan dan keperitaan umat Gaza terutama kita sebagai para pelajar SBP khususnya warga Sdar.

Isra’ dan Mikraj Penjana Kegemilangan Ummah

15 Julai, satu ceramah Isra’ dan Mikraj telah diadakan di Masjid Al-Quds Sdar peringkat sekolah. Program ini telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Badar Sdar dan jawatankuasa Masjid al-Quds. Ceramah pada malam tersebut telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Abd. Malik b. Norakit Pensyarah IPG Raja Melewar.

Antara intipati penekanan ceramah beliau ialah pengertian Israk dan Mikraj serta bagaimana membina remaja masjid dan remaja qurani. Beliau juga turut menjelaskan keadaan umat islam masa kini serta cabaran pembinaan remaja qurani. Penceramah juga mengingatkan para pelajar agar mengambil berat soal solat terutama solat berjamaah. Ini kerana ia merupakan rahsia kegemilangan umat Islam. Penceramah berjaya menarik perhatian para pelajar dengan alunan nasyid dan  lagu yang berbentuk nasihat serta  zikir-zikir mengingati allah.

Sambutan pada malam itu amat memberansangkan dari para pelajar Sekolah Dato’ Abdul Razak.Majlis ceramah itu turut dihadiri oleh Tuan Pengetua Cemerlang Tn. Hj. Zakaria, PK 1 Tn. Hj. Sahak b. Ahmadun, PK HEM dan  para guru.

Galeri Jalinan Ukhuwwah Mahabbah Badar Sdar- Semesra(JUMSS)

Jalinan Ukhuwwah Mahabbah Sdar – Semesra ( JUMSS)

Mengakar Ukhuwwah Merimbun Dakwah Badar SDAR-Semesra

11 Julai 2010, pihak Badar SDAR telah mengadakan lawatan Jalinan Ukhuwwah Mahabbah Badar Sdar – Semesra (JUMSS) ke Sekolah Menengah Sains Rembau (Semesra). Ketibaan delegasi Badar SDAR telah disambut oleh guru penasihat Badar Semesra Ust. Nazirul Amir  dan pemimpin Badar Semesra.

Matlamat lawatan ini ialah mengeratkan ikatan silaturrahim antara penggerak Badar SDAR dan Badar Semesra di samping berkongsi pengalaman dalam menggerakkan organisasi Badar di sekolah masing-masing.

PK Hem Semesra Tn. Hj Mohd Azman menerima cenderamata dari guru penasihat Badar Sdar

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari wakil Badar Sdar iaitu Ust. Mohd Azizee b. Hasan. Beliau mengucapkan terima kasih pada pihak Badar Semesra kerana sudi menerima kunjungan ini. Beliau berharapa pertemuan ini akan menjadi medium bertukar-tukar pengalaman dan mencari kaedah terbaik bagi melaksanakan aktivisme Badar.

Ucapan seterusnya pula ialah ucapan Tn. Hj. Mohd Azman b. Awang PK Hem Semesra. Beliau berharap lawatan ini dapat mencapai objektif yang digariskan serta memperkasa peranan Badar di sekolah masing-masing. Beliau turut memaklumkan bahawa Badar SDAR merupakan organisasi pertama dari sekolah SBP yang datang berkunjung ke Semesra sejak sekolah ini ditubuhkan sekaligus mencatat sejarah sekolah SBP yang pertama datang ke Semesra.

Freindly Match antara Badar Sdar- Semesra

Program JUMSS ini diisi dengan perlawanan persahabatan bola sepak yang telah dimenangi oleh Badar SDAR. Seterusnya program perkongsian pengalaman antara Badar Sdar- Badar Semesra telah diadakan di Surau Semesra. Pelbagai input dan pengalaman dapat dikongsi bagi memajukan organisasi Badar masing-masing.

Ukhuwwah Abadan Abadaa

Majlis diakhiri dengan majlis penyampaian cenderamata pihak Badar Sdar kepada wakil Badar Semesra. Cenderamata Badar Sdar telah disampaikan oleh Presiden Badar iaitu Sdr. Ahmad Syafiq Aizat b. Nazri.Kunjungan ringkas ini memberikan momentum baru dan mengikat tali ukhuwwah yang kukuh antara Badar Sdar – Semesra.

Dorm Badar Johan Dorm Terbersih Hari Terbuka SDAR 2010

Dorm Badar B2 Dorm Terbersih Sdar Openday

10 Julai 2010 Sekolah Dato’ Abdul Razak telah menganjurkan Hari Terbuka Asrama 2010. Program ini adalah anjuran pihak sekolah dengan kerjasama PIBG Sdar.Sempena hari terbuka ini, pihak Lujnah Ekonomi dan  Kebajikan Badar telah membuka Badar Corner bagi mengumpul dana Badar di samping sebagai sumbangan pada pihak sekolah.

Keriuhan dan kegembiraan di Badar Corner

Jus Iran yang laris

Pelbagai jualan dibuka di Badar Corner. Antaranya Kebab, Jus Iran, Button, Nasi Lemak Bungkus, Jeli Kelapa, Dadih dan makanan frozen. Kebab dan Jus Iran mendapat sambutan menarik dari para pelajar dan tetamu yang datang berkunjung pada hari tersebut.Sambutan laris dari pelajar-pelajar dan para pengunjung menyebabkan jualan Badar habis dengan segera.

Keceriaan di dorm Badar B2

Dorm Badar Laksamana 2 Naib Johan

Hiasan dalaman dorm Badar Syahbandar

"Mengakar Ukhuwwah Merimbun Dakwah" Mural di Dorm Badar Temenggung

Sempena Sdar Opendays, Dorm Badar Bendahara telah mendapat Johan Dorm Terbersih yang membawa pulangan RM 500.00. Manakala Dorm Badar  Laksamana pula mendapat Naib Johan DormTerbersih dengan mendapat RM 300.00.Kejayaan Badar mengungguli Dorm Terbersih adalah hasil kerjasama dan sokongan ahli-ahli Badar (amal jamaie) dalam melestarikan satu aspek iklim dini iaitu kebersihan. Dorm Bendahara Badar adalah merupakan dorm Presiden Badar.

Pihak JK Tertinggi Badar mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih pada ahli-ahli dorm Badar yang berjaya menghekalkan kecemerlangan dorm pada tahun ini.