Monthly Archives: August 2010

Majlis Iftar Jamaie BADAR

U. Zaidi sedang berbuka puasa bersama ahli Badar

20 Ogos 2010 yang lalu telah diadakan majlis Iftar Jamaei    (Berbuka Puasa) Badar SDAR. Majlis yang dihadiri hampir 60 orang yang terdiri dari para ahli Badar dan beberapa pelajar jemputan Badar. Turut serta majlis tersebut guru-guru penasihat seperti Ustaz Zaidi b. Husin, Ust. Tajul Azhar  b. Harun dan Ustaz Mohd Azizee b. Hasan . Majlis Iftar ini dibuka dengan masakan ala penang iaitu Nasi Briani, Dalca, Lauk Ayam dan Daging masak hitam yang disertakan papedom.

Pada malamnya diadakan solat sunat terawih yang diimamkan oleh Ustaz Zaidi b. Husin dan tazkirah ringkas sempena Ramadhan.

Advertisements

Ceramah Sempena Di Ambang Ramadhan

Pada 6 Ogos yang lalu, pihak Badar Sdar dengan kerjasama masjid al-Quds telah mengadakan ceramah di Ambang Ramadhan. Ceramah telah diadakan di Masjid al-Quds Sdar selepas solat maghrib berjemaah.

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd  Sukki b. Othman, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia. Beliau telah mengupas beberapa perkara berkaitan pelaksanaan ibadah puasa seperti pengertian, syarat, rukun, perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara sunat yang perlu dilakukan sepanjang menjalani ibadah puasa.

Majlis ini diserikan dengan sesi soal jawab dari para pelajar kepada pihak penceramah. Ramai dari kalangan pelajar bertanya pelbagai soalan kepada penceramah dan beliau menjawabnya dengan jelas dan mudah berkaitan isu-isu puasa. Majlis diakhiri dengan solat Isyak berjamaah.

Lambaian Kaabah ..Kursus Haji Tingkatan 5


Isnin 26 Julai yang lalu, pihak Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan Kursus Haji untuk tingkatan 5. Kursus inji diadakan bagi mendedahkan perkara berkaitan haji dan pelaksanaan amali haji.

Kursus yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji ini telah memberikan input berguna berkaitan persoalan haji sekaligus memudahkan para pelajar menjawab subjek Pendidikan Islam SPM nanti.

Marhaban Ya Ramadhan

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh,

Ramadhan bakal menjelang tiba. Kini bulan meraih keuntungan dan laba sudah menjelma. Semoga hadirnya Ramadhan bakal menyuntik semangat dan mentajdid izzah kita pada agama.

Saya mewakili pihak JK Tertinggi Badar Sdar mengucapkan Salam Ramadhan 1431H / 2010 M. Semoga Ramadhan pada kali ini meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita sepanjang menjalani tarbiyah di Madrasah Ramadhan ini.

Marilah kita isikan kursus di bulan yang penuh keberkatan ini dengan aktiviti-aktiviti pengukuh iman dan pembentuk insan rabbani seperti tilawah Quran, solat terawih, qiamulalil, bersedekah,iktikaf, berjihad melawan hawa nafsu agar kita berjaya keluar sebagai graduan muttaqi.

Salam Ramadhan el- Mubarak

Sdr. Ahmad Syafiq Aizat b. Nazri
Presiden Badar 2010

Ketua Lujnah Dakwah Badar Menang Tempat Ke -3

KPPM Y. Bhg Tan Sri Dato' Alimuddin b. Md. Dom bergambar dengan pasukan SDAR

Sdr. Mohd Hanafi b. Muidnudin selaku ketua pasukan Sdar telah memenangi tempat ketiga pertandingan penulisan Esei Sejarah anjuran Persatuan Sejarah Malaysia. Turut memenangi pertandingan tersebut Sdr. Azrul Aziz b. Abd. Aziz yang merupakan aktivis Badar Sdar dan Sdr. Adzlan Qushaimi.Sdr. Mohd Hanafi b. Muidnudin merupakan Ketua Lujnah Dakwah Badar Sdar.

Pihak  JK Tertinggi Badar dan seluruh penggerak Badar mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sdr. Mohd Hanafi dan Sdr. Azrul Aziz atas kejayaan mereka dalam pertandingan ini.

Badar Cemerlang Sekolah Gemilang

Ramadhan Menggamit Kembali

Assalamualaikum semua..

Semoga kita termasuk hamba-hambaNya yang tetap kukuh berpegang pada ajaranNya. Ini adalah hari-hari yang bahagia. Kebahagian yang datang saat kita kita mampu bersujud kepadaNya. Kebahagian yang datang bersama istigfar atas selautan dosa. Dan kebahagian yang datang tika mulut mampu melafazkan kalimah-kalimah suci Al Quran. Terasa begitu indah hidup ini. Inilah kebahagian.

Berbahagialah kerana kita sudah berada di bulan Sya’ban. Bulan pemisah antara Rejab dan Ramadhan. Tidak lama lagi akan menjelmalah bulan yang sangat dirindukan. Bulan yang mulia, suci, penuh rahmat, bulan penuh maghfirah, bulan ibadah, bulan jihad. Itulah Ramadhan. Lalu berdoalah, ‘Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Dan sampaikanlah usia kami hingga bulan Ramdhan’.Teman-teman,Hampir tidak sedar bahawa sudah dekat setahun Ramdhan meninggalkan kita. Sekarang kita di bulan Sya’ban. Bulan yang menjadi bulan ibadah istimewa bagi Rasulullah. Para salafussalih mengatakan bulan Sya’ban sebagai bulan para qurra’. Habib bin Abi Tsabit apabila masuk bulan Sya’ban mengatakan, ‘inilah bulannya para qurra’. Manakala Amr bin Qais menutup kedainya pada waktu tertentu untuk membaca Al Quran apabila Sya’ban menjelma.

Saudaraku,

Saat ini mari kita renungi sejauh mana keberhasilan Ramadhan yang lalu mentarbiyah diri kita menjadi mu’min ‘abid. Adakah di bulan-bulan setelah Ramadhan kita masih setia meluangkan waktu untuk bertandang ke rumah Allah untuk solat jamaah? Adakah dalam kesibukan, kita masih melafazkan kalimah-kalimah suci Al Quran sejak berlalunya Ramdhan? Adakah di tengah malam, kita masih sanggup berpisah daripada empuknya tilam, bukan untuk sahur tetapi untuk bertahajjud kepadaNya? Dan apakah yang meningkat pada diri kita setelah berlalunya Ramadhan? Sama-sama kita muhasabah diri.

Ayuh, bulan ini adalah bulan ‘warm up’ ataupun pemanas badan untuk berlumba mendapatkan berkat dan rahmat di bulan Ramadhan. Bersiaplah untuk mengurangkan waktu tidur. Bersiaplah untuk lebih banyak mengeluarkan infaq dan sedekah. Bersiaplah untuk berdiri lama-lama menunaikan solat fadhu dan juga sunat. Bersiaplah untuk membaca Al Quran. Bersiaplah untuk bertahan dan tetap tidak melanggar segala aturan Allah.

Kerana apa kita harus bersiap-sedia dengan perkara-perkara tersebut? Kerana solat, tilawah, sedekah, zikir, mengawal nafsu itulah yang akan menjadi rutin amal kita dalam bulan Ramadhan. Persediaan ini amat perlu agar kita tidak lagi rasa kekok ketika Ramadhan tiba. Malah akan bertambah amal kita pada bulan Ramadhan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran yang besar daripada Allah. Persediaan ini juga bagi mengelak kita menyesal di kemudian hari akibat tidak cukup ‘panas’ untuk berjuang di medan Ramadhan. Persediaan inilah yang menunjukkan kita benar-benar ingin bertemu dengan Ramadhan yang mulia.

Saudaraku,

Sudah pastikah kita akan dapat merasai Ramadhan pada tahun ini? Maka selalulah berharap padaNYa. Seandainya, Allah memanjangkan umur kita untuk sampai ke bulan Ramadhan, maka tanamkanlah perasaan bahwa ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk kita harungi. Pasakkanlah juga di hati kita bahawa kita akan meningkatkan momentum iman dan amal dari sekarang hingga Ramadhan melabuhkan tirainya kemudian disambung lagi sehingga tibanya Ramadhan yang akan datang. Dengan itu tidak akan ada alasan untuk berehat daripada beribadah kerana segalanya adalah bekalan untuk menghadapi Ramadhan yang penuh berkah.

Oleh itu, hargailah waktu-waktu emas yang ada untuk kita bertaqarrub kepadaNya. Kerana mungkin saja, setelah Ramadhan ini, tidak akan ada lagi kesempatan untuk kita menghirup rahmat Allah di bulan yang mulia. Tak ada lagi kesempatan untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Tak ada lagi kemungkinan kita mengucap istighfar memohon ampun daripada dosa di saat pintu taubat dan pintu syurga dibuka luas-luas. Tidak ada lagi peluang bersedekah dengan lipatan pahala yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Dengan itu, mari kita ambil sebanyak-banyak manfaat pada bulan Sya’ban ini untuk kita bawanya ke bulan Ramadhan.

Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Dan sampaikanlah usia kami hingga bulan Ramdhan’.

Sdr. Muhd Hazrin b.Md. Zainal (Mantan  Ketua Lujnah Kaderisasi Badar 2008)

http://www.nidauljihad.blogspot.com

Masjid Al-Quds Berkarpet Baru

Usaha untuk merealisasikan karpet baru Masjid Al-Quds SDAR telah tercapai  setelah projek  pungutan, sumbangan dan wakaf karpet berjalan hampir 6 bulan. Projek menukar karpet telah sempurna dilaksanakan pada pertengahan Julai yang lalu. Pihak jawatankuasa pelaksanaan projek karpet Masjid Al-Quds mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para dermawan, para penyumbang bagi menjayakan projek ini. Moga sumbangan kalian diganjari Allah.

Gambar Karpet Baru Masjid al-Quds

Pekerja sedang menukar karpet

Kerja-kerja penukaran karpet sedang dilakukan

Sehijau hari ini...seindah karpet al-Quds..

This slideshow requires JavaScript.