Monthly Archives: September 2010

Pesan Abang Setulus Pejuang

Dari Sibu ke kota Sandakan,
Amanah ditanggung menuntut ilmu.
Mari adik abang kisahkan,
Sejarah agung asal usulmu.

Melukah ikan di Paya Bakong,
Dibuat lauk ketika bersahur,
Tahukah adik tawarikh agung,
Perihal babad Melaka yang masyhur?

Ikan bujuk ikan tilan,
Tenggiri bunga di mata jala,
Ulama dirujuk penegak keadilan,
Negeri sentosa rakyat terbela.

Mengira waktu menghitung saat,
Menanti berbuka di kedai warung.
Hukum Kanun berlandaskan syariat,
Islam tertegak agama dijunjung.

Hinggap jentayu di pohon mertas,
Mencari-cari dahan menasi.
Bahasa Melayu tersebar luas,
Dikongsi-kongsi hingga ke Parsi.

Bulan bukan sebarang bulan,
Bulan mulia dihujani rahmat,
Sultan bukan sebarang sultan,
Sultan adil berjiwa rakyat.

Manggis ranum kemerah-merahan,
Berbagai rupa sedap belaka,
Portugis menyerang bermati-matian,
Berakhirlah sudah kegemilangan Melaka.

Resmi sekadim bergaduh bercanda,
Badan sudah dua senyawa.
Angkara jahanam Inggeris Belanda,
Kaum serumpun terpecah dua.

Melalu denai melintas titi,
Meredah hutan memetik melati.
Jepun menentang separuh mati,
Watan dipertahan sepenuh hati.

Dari Langkasuka ke Putrajaya,
Tentangan ditepis menabur jasa,
Laungan Merdeka menggegar Malaya,
Kemuncak manis pejuang bangsa.

Negara ini bangsanya rencam,
Beruntungnya lahir di tanah bertuah.
Jangan kau lupa peristiwa hitam,
Rusuhan kaum menumpahkan darah.

Menahan kayu memasang pasak,
Disengat tebuan di hujung rimba.
Ketuanan Melayu dihentam diasak,
Siapa yang tuan, siapa yang hamba?

Bilangnya ajal merasa sayu,
Semadi jasad bernesan jawi,
Malangnya nasib berbangsa Melayu,
Menjadi hamba di tanah pertiwi.

Apa guna memetik cempaka,
Kalau bunga dimusnah sarang,
Apa guna erti merdeka,
Kalau jiwa dijajah orang.

Mencari kayu melumat rencah,
Herba ditambah pelazat ramuan.
Sesama Melayu umat berpecah,
Usah bicara soal kemajuan.

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.
– Burhanuddin al-Helmy-


Parang diasah menerang belukar,
Menyabit di sini menebas di sana.
Abang bermadah adik mendengar,
Moga menjadi iktibar bermakna.

Andainya abang menyimpang jalan, janganlah adik terikut leka,
Andainya abang syahid di medan, janganlah adik gundah berduka.
Ketika terasa lesunya iman, ingat kembali syiar Melaka,
Ayuh adik mara ke depan, kita semarakkan jiwa merdeka!

100 Darjah Celcius

Perbezaan antara kecemerlangan dan pencapaian yang biasa dalam kehidupan kita selalunya sangat kecil. Namun imbuhan kecemerlangan atau yang menjadi juara adalah cukup besar jika dibandingkan dengan yang tidak menjuarai sesuatu pertandingan. Air akan menjadi cukup panas pada 99 darjah celsius tetapi dengan perbezaan satu darjah kepada 100 darjah celsius, air akan mula bergelegak (boiling) dan mengeluarkan stim. Keupayaan stim ini dapat mengerakan lokomotif yang beratnya boleh mencakap ribuaan kilogram. Bayangkan… dengan hanya perbezaan satu darjah celsius, air bertukar dari sifatnya yang hanya panas kepada satu jenis gas yang telus (transparent) dan mempunyai kekuatan yang tak terhingga. Stim ini juga boleh menjana kuasa elektrik yang boleh menerangkan satu bandaraya.

Saya ingin berkongsi beberapa contoh 100 degree celsius dalam kehidupan kita sebagai satu perkongsian minda untuk kita semua serta menjadi ingatan kepada diri saya untuk terus memacu kecermelangan dalam kehidupan kita semua, insya-Allah. Saya berdoa agar contoh-contoh ini akan mencetus sedikit motivasi dalaman kita dan terus berazam untuk menjadi hamba Allah yang sebaik mungkin.

100 darjah celsius Akademik
Mendapat A dalam akademik memerlukan markah sekurang-kurangnya 85%. Namun jika kita hanya mampu mendapat 84%, perbezaan yang sedikit ini bakal membezakan kita samada dapat memasuki universiti pilihan atau tidak. Jika kita bangun untuk berusaha memberi komitment 100 darjah celsius dalam pelajaran kita bersama doa, insya-allah kita mungkin akan berjaya mengondol A dalam pencapaian akademik kita.

100 darjah celsius pencapaian
Perbezaan antara Husin Bolt (pemenang pingat emas 100M dan 200M sukan Olimpik 2008) dan pemenang tempat kedua adalah nano saat. Menjadi pemegang pingat perak atau gangsa adalah satu kegagalan dalam sejarah sukan. Tidak ramai yang ingat siapakah yang mendapat tempat kedua dalam sesuatu acara. Untuk menjadi sesaorang yang mencipta sejarah, tempat kedua bukanlah satu pilihan.

Dalam pertandingan golf PGA selama 25 tahun, purata perbezaan pukulan antara pemenang dan tempat kedua adalah kurang dari 3 pukulan, namun perbezaan imbuhan hadiah kemenangan hampir 50%. Lagi sekali, dengan perbezaan sangat kecil antara yang menang dan kalah bolem membawa perbezaan yang cukup besar dari segi balasan.

Perkara yang sama dapat kita perhatikan dalam perlumbaan sukan permotoran Formula 1. Perbezaan masa untuk permenang tempat pertama dan kedua cukup sedikit. Hanya yang terbaik dalam terbaik dapat berdiri di podium bernombor 1.

100 darjah celsius kebolehan
Saya juga ingin berkongsi kisah Nabi Sulaiman AS seperti yang ada dalam Al-Quran yang mana Nabi Allah Sulaiman AS bertanyakan kepada bijak pandai siapa yang boleh membawa istana Puteri Balqis kehadapan Baginda Nabi Allah Sulaiman AS sebelum tibanya Puteri Balqis mengadapnya. Surah Naml ayat 38-40:

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.

Kisah Nabi Allah Sulaiman AS ini memberi penekanan bahawa perbezaan dalam kebolehan memberi kelebihan. Jika dilihat dari darjah kecepatan duduk ke posisi berdiri berbanding dengan kerlipan mata, tidak banyak perbezaannya namun, orang yang berpengetahuan dari Kitab Allah ini telah berjaya membawa singgahsana Balqis ini lebih cepat dari Jin Ifrit.

Kisah di atas memberi pengajaran kepada kita bertapa pentingnya untuk menduduki tempat pertama dalam apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Sikap tidak mudah terima bahawa tempat kedua sudah cukup bakal mencetus motivasi dalaman yang akan terus memacu tenaga, minda serta upaya untuk menjadi insan yang cemerlang disisi Allah SWT, Insya-Allah.

Salam Eidulfitri dari Presiden BADAR SDAR 2010

Selamat Hari Raya Eidulfitri Dari Badar SDAR

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh…

Pertamanya marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT.Segala kesyukuran kepada-Nya kerana memberikan kita ruang dan peluang untuk bersama-sama mengecapi nikmat-Nya,Alhamdulillah.Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan kaum kerabat baginda,para sahabat dan mereka-mereka yang terdahulu berjuang di jalan Allah.

“Tatkala Tarbiyah Ramadhan telah disemai,Syawal pula tiba sebagai bulan menilai”

Sesunguhnya,masa itu berlalu dengan sangat pantas.Daripada siang menjadi malam,daripada kecil menjadi dewasa,daripada mentah menjadi matang dan kini kita semakin menhampiri bulan kemenangan bagi umat Islam yang akan berganti daripada Ramadhan Al-Mubarak kepada bulan Syawal.Berlalunya Ramadhan bersama janji Allah tentang ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dari bulan-bulan biasa, maka ramai dikalangan kita yang memohon doa agar dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Begitu juga, Ramadhan yang bakal dirindui ini bukan sekadar telah membuka peluang-peluang untuk beribadah serta untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan tetapi pengajaran daripadanya sememangnya amat penting untuk dinilai dan diteruskan.Sebagai contoh, disepanjang bulan Ramadhan, umat Islam samada secara sedar atau tidak telah mengunjungi masjid, membaca al-Quran, berpakaian sopan mengikut tuntutan syariat Islam, bercakap benar, tidak mengunjungi tempat-tempat hiburan atau maksiat, bahkan anak-anak remaja pun balik cepat ke rumah selepas sekolah atau dari tempat kerja semata-mata ingin bersama ahli keluarga berbuka dan bersolat jamaah.

Sebagai Muslim,kita perlu menganggap bahawa pemergian Ramadhan ini bukanlah bererti terhentinya proses dalam mentaribah diri serta mengawal nafsu agar terus mengerjakan amal ibadah seperti berpuasa sunat, membaca al-Quran, bersedekah, menghadiri solat berjamaah di masjid atau surau dan sebagainya. Oleh itu, amat malang dan rugi bagi kita yang telah berjaya mendidik nafsu sepanjang tarbiah Ramadhan tetapi kita kembali semula menjadi hamba kepada kehendak dan dorongan nafsu tersebut.

Kerana itu, jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang sentiasa menghidupkan suasana Syawal dengan perkara yang dikira ibadat di sisi Allah s.w.t dan bukannya dengan mencemari kesucian Syawal melalui amalan yang bercanggah dengan syarak. Bersesuaian hari raya sebagai hari kemenangan dalam mengekang nafsu sepanjang Ramadhan, maka janganlah kita kotorkan kembali diri kita dengan melakukan maksiat sehingga kita kembali menjadi kalah kepada hasutan nafsu dan syaitan. Kemenangan yang mesti dicapai ialah kejayaan dalam melahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa, bukannya sebagai manusia yang durhaka terhadap Allah s.w.t. Oleh itu, kita mesti teruskan segala proses tarbiah yang dilalui dan diterima sepanjang Ramadhan yang lalu pada bulan-bulan seterusnya. Begitu juga dalam kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya janganlah kita lupa untuk merebut tawaran Allah s.w.t untuk sama-sama menunaikan ibadat puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dimana kelebihannya seperti orang berpuasa sepanjang tahun dalam sabdanya yang berbunyi :

“Daripada Abi Hurairah r.a., Dari Nabi s.a.w. katanya : Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian di ikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun “.( H.R.Muslim )

Dalam keseronokan dan kegembiraan kita menyambut kedatangan Syawal dan suasana hari raya dengan aktiviti kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi sanak saudara dan rakan-rakan, kita janganlah lupa dan lalai dengan kemuliaan bulan ini, seolah-olah semua keseronokan tersebut adalah bonus bagi kita menyambut hari raya. Sehingga kita lupa bahawa kedatangan Syawal merupakan suatu kehilangan besar sebahagian kenikmatan untuk beribadat, walaupun ibadah puasa sunat boleh diteruskan di bulan Syawal, namun keseronokan bertarawih dan Lailatul Qadar tidak dapat dinikmati lagi sehinggalah Ramadhan yang akan datang.

Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya berhibur untuk meraikan sesuatu kemenangan atau kejayaan tetapi hendaklah ianya dilakukan melalui saluran hiburan yang betul dan berfaedah yang disertai dengan nilai akhlak mulia serta membanyakkan kesyukuran kepada Allah.Oleh itu, dengan berlalunya Ramadhan maka marilah sama-sama kita melakukan muhasabah diri. Apakah diterima amal ibadah kita sepanjang Ramadhan lalu ? atau Apakah puasa kita benar-benar sebagai suatu ujian dan latihan bagi kita ?Maka, diharapkan Syawal ini menjadi bulan untuk kita menilai diri.

Akhirnya, dikesempatan Syawal yang mulia ini,saya ingin menyeru umat Islam agar menjadikan Aidil Fitri yang kita rayakan dapat mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. serta mengharapkan disiplin tarbiah yang dibentuk sepanjang Ramadhan memberi kesan yang baik dan terus kekal dalam diri.Tingkatkanlah amalan di bulan Syawal ini sebagai pelengkap kepada ujian kita di Ramadhan yang lalu.Serta jadikanlah syawal ini sebagai satu bentuk penilaian terhadap diri kita sama ada madrasah tarbiyah di Ramadhan yang lalu benar-benar melayakkan kita dianugerahi ijazah ketaqwaan ataupun tidak.Rebutlah puasa 6 hari di bulan Syawal ini. Mudah-mudahan segala amalan yang kita kerjakan diterima Allah dan tidak menjadi sia-sia.

Saya juga mewakili semua aktivis BADAR Sekolah Dato’Abdul Razak bagi tahun 2010 mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan menyusun jari memohon kemaafan dan keampunan daripada semua pihak.Kami mendoakan semoga diperkukuhkan keimanan dan ketaqwaan menjelang lebaran yang akan tiba. Kami juga mendoakanagar Madrasah Ramadhan benar-benar memaknakan erti kemerdekaan insan dari belenggu nafsu syahwat. Hiasilah hari raya ini dengan meningkatkan kualiti Taqarrub kepada Allah azzawajalla. INSYA ALLAH.

Kullu wa antum bi khair,Taqabbalallahhu taotakum
Salam Aidilfitri & Maaf Zahir Batin

Ahmad Syafiq Aizat b. Nazri
Presiden Badar 2010

Badar dan Ramadhan 1431H

Forum Ramadhan

Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak Badan dan Rohani SDAR bagi menyemarakkan bulan Ramadhan al-Mubarak tahun ini. Berobjektifkan untuk membina sifat mukmin ‘abid , pelbagai program diatur seperti program Tadarus Quran, Kuiz Ramadhan Rehlah Masyi, Forum Ramadhan, Iktikaf 10 terakhir Ramadhan dan menyantuni kanak-kanak kecil di Hospital Tuanku Jaafar Seremban dengan pemberian sumbangan raya ke wad pediatrik.

Sumbangan kepada pesakit kanak-kanak di HTJ Seremban

Rehlah Masyiah Badar

Adalah menjadi harapan program Ihya Ramadhan kali ini dapat menjana transformasi ke arah melahirkan mukmin bertaqwa.Semoga gamitan Ramadhan menjana perubahan besar untuk agenda besar.

This slideshow requires JavaScript.

Kem Tunas Muda Ramadhan B.A.D.A.R

Bergambar seusai aktiviti Derap Langkah B.A.D.A.R

Kem Tunas Muda Ramadhan B.A.D.A.R telah berjaya diadakan pada 28-29 Ogos yang lalu di Masjid Negeri. Program yang berlangsung selama 2 hari ini telah disertai seramai 38 orang pelajar dari tingkatan 1-4.

Sesi Ice Breaking

Objektif utama program ini ialah bagi menghidupkan kemeriahan ibadah di Bulan ramadhan.Disamping itu untuk membina sahsiah pelajar yang mulia, berbudi pekerti, berhemah dan cintakan ajaran Islam khususnya di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ia juga bertujuan mewujudkan suasana keakraban, kemesraan dan seronok beramal ibadat    dalam bulan Ramadhan demi menyemarakkan amalan secara jamaie serta seimbang dalam mengendalikan urusan duniawi dan ukhrawi. Pada masa yang sama ia sebagai satu wadah menjelas dan berkongsi ilmu serta pengalaman dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan Ramadhan.

Bertadarus secara berkumpulan

Sesi Pembentangan Kumpulan

Pelbagai aktiviti yang disajikan sepanjang Kem Tunas Muda Ramadhan ini seperti tadarus al-Quran, ceramah, bengkel, derap Badar, iktikaf, qiamulalil dan solat terawih berjamaah.Program kali dibantu olehfasi-fasi dari Kelab Remaja Isma yang terut disertai oleh ahli-ahli Badar Sek. Men. (A) Persekutuan Labu.

Rata-rata pelajar berpuashati dan berharap program ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

This slideshow requires JavaScript.