Category Archives: Dakwah

Momentum Israk dan Mikraj

Saban tahun umat Islam menyambut peristiwa bersejarah dan agung iaitu peristiwa Isra’ wal Mikraj.Israk adalah kata terbitan di dalam Bahasa Arab bermaksud ‘perjalanan’ manakala Mikraj pula diertikan dengan ‘naik’. Israk merujuk perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil al-Aqsa manakala Mikraj ialah naik Rasulullah ke setiap lapisan langit sehinggalah ke Sidratul Muntaha mengadap Rabbul Jalil yang Maha Esa.Peristiwa ini berlaku dalam satu malam seperti firman Allah SWT di dalam permulaan surah Isra.

Para penulis sejarah Islam berbeza pendapat dalam penentuan tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Namun yang penting di sini ialah sejauh manakah umat Islam dapat mengambil ibrah dan panduan dari peristiwa agung ini.

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti di dalam kitab sirahnya ‘Fiqh Serah’ mengungkapkan ia sebagai Mukjizat Isra’ dan Mikraj. Sudah tentu peristiwa ini punya signifikan dan implimentasi besar dalam sejarah babak-babak perjuangan dakwah dan fasa-fasa perluasan tarbiyah.

Peristiwa ini berlaku di saat dakwah menghadapi tantangan yang cukup hebat dari golongan al-mala’ (pembesar) Quraish. Dakwah ketika itu berada di kemuncak penindasan dan penyeksaan serta komplot jahat pemulauan dan sekatan ekonomi terhadap Jamaah Muslimin . Di tengan –tengah senario itu, terjadinya kematian isteri baginda SAW Khadijah binti al-Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib yang banyak memberikan perlindungan kepada perjuangan baginda SAW.Ahli Sejarah menamakannya ‘ ‘Am al-Huzni’ – Tahun Kesedihan.

Keadaan ini sedikit sebanyak memberikan impak yang mendalam kepada jiwa baginda, tekanan emosi dan psikologi kepada perjuangan besar ini. Di tambah pula penolakkan total dari penduduk Toif terhadap seruan baginda sehingga baginda dibaling batu oleh kanak-kanak Toif.Namun tarbiyah dan didikan allah berterusan dan merentas sempadan masa. Ada hikmah dan ibrah yang perlu dihayati dan dimengerti khususnya buat para pejuang Islam sejati akan hakikat tariq dakwah ini. Jalan ini sukar dan payah, tidak dihampar permaidani merah, tidak dikalung dengan jambangan bunga dan ditaburi dengan kesenangan dan keselesaan.

Lantaran itu, Allah mahu membangkitkan semangat dan motivasi Ar-Rasul SAW selaku pemimpin dakwah dan harakah bersama para pengikutnya yang sentiasa taat dan iltizam dengan prinsip perjuangan agar terus memiliki momentum dan energi dakwah disebalik suka duka, asam garam, manis pahit dan harga termahal perjuangan yang berkesinambungan ini.Mukjizat Isra dan Mikraj adalah hadiah Allah kepada baginda bagi merefreshkan semula semangat yang lesu, mentajdid tekad dan azam perjuangan, membangkit himmah dan cita-cita bagi memikul gagasan besar dakwah dan perjuangan li ‘ilai kalimatallah hihiyal ‘ulya.

Spirit dan momentum yang diperolehi sepanjang pengembaraan ini (rehlah tarfihiyah) mampu melonjak semangat dakwah dan ruh harakah, mencari ruang-ruang baru dakwah kerana mukjizat ini sarat dengan hikmah, kaya dengan nostalgia dakwah menerusi pertemuan antara beberapa generasi dakwah dari Adam a.s hingga Rasul sebelumnya.Tanda isyarat kesinambungan dakwah dan risalah. Begitu juga kaitan di antara dua masjid yang menjadi teras kesatuan akidah antara dua zuriat pewaris nabi, zuriat Adam a.s ( Bani Israel) dan zuriat Ibrahim a.s, babak-babak dan gelagat manusia serta penerimaan amanah agung dihadapan allah akan beban ‘solat’.

Momentum inilah akan memberikan ufuk baru kepada perjuangan baginda bahawa dakwah harus dipacu, perjuangan perlu menempuh khalayak manusia , penjaringan dakwah yang luas dan bahtera dakwah perlu dikemudi sehingga visi dan misi direalisasi.

Apa yang boleh kita gali dan singkapi dari makna-makna dakwah dan entri-entri perjuangan menerusi mukjizat Isra’ dan Mikraj ini ialah :

  • Rehlah Israk dan Mikraj merupakan satu uslub dan wasilah tarbiyah allah kepada baginda Rasulullah SAW bagi menyegar dan membugar perjuangan dakwah. Ketika da’ie berasa lesu dan lemah, maka wasilah ‘jaulah’ adalah kaedah terbaik bagi mengembalikan semangat ini, menimba pengalaman dari qudama’, menenangkan perasaan dan sebagainya.
  • Da’ie perlu disuntik semangat dan himmah agar momentum dakwah dan tarbiyah sentiasa hidup. Pemimpin dakwah, para murabbi hendaklah meniupkan api perjuangan, menggugah perasaan dan membina zon pro-aktif agar tenaga du’at sentiasa berkekalan dan meningkat.
  • Dakwah ini adalah taurith (pewarisan) sebagaimana Rasulullah bertemu dengan para nabi terdahulu, mengambil semangat daripada mereka serta memimpin jamaah solat mereka.
  • Rehlah dan jaulah ini adalah satu tajdid keazaman dan himmah selepas melewati pelbagai cabaran dan hambatan di jalan dakwah. Ia mengingatkan baginda bahawa dakwah ini adalah hak milik allah dan manusia adalah pemegang amanahnya. Segala ujian dan dugaan bukanlah tanda kemurkaan allah tetapi menjelaskan bahawa sunnah dakwah tidak lari dari mehnah. Rehlah ini sebenarnya ubat penenang dan dos penyegar psikologi jiwa baginda. Kesantaian dan keseronokan dalam pengembaraan ini mengembalikan kekuatan baginda dan menghilangkan kekusutan difikiran baginda s.a.w.
  • Tazkiyah an-nafs (penyucian jiwa) penting dalam proses tarbiyah. Untuk bertemu dan mengadap allah, maka para da’ie perlu memiliki jiwa yang bersih dan suci kerana perjalanan ini adalah perjalanan hati menuju kepada allah. Bagaimana kita ingin bertemu allah, sedangkan jiwa kotor dengan dosa dan noda. Trilog tarbiyah ini adalah terdiri dari tiga kalimah : tilawah-tazkiyah-taklim. Di samping itu kita tidak lupa persoalan solat yang menjadi tiang utama Islam. Kewajipan solat mesti dititik berat sebagai wahana pembentukan peribadi muslim dan peribadi da’ie. Solat dapat meningkat ruhiyyah sang Da’ie, padanya kuantum dan momentum.
  • Isu Palestin merupakan isu utama dan teras dalam perjuangan dakwah. Para da’ie perlu menguasai topik ini, mendalami perjuangan Palestin, mewar-warkannya kepada umat Islam dan menjadikannya sebagai agenda penting dakwah. Ini kerana cabaran terbesar dan musuh utama dakwah ini ialah Yahudi yang melakukan makar kepada umat Islam.
  • Dalam perjalanan dakwah ini, kita amat-amat memerlukan bekalan dan bimbingan dari allah, didikan rabbaniyah. Kelangsungan tarbiyah inilah yang menjadikan para da’ie tidak terjebak dari gejala futur dan gugur disepanjang jalan. Tarbiyah menjadi teras dan asas kepada perjuangan. Nabi SAW sentiasa dibimbing dan dididik biar apa jua kesulitan yang menimpa dan kesenangan yang diterima. Senang susah adalah warna-warna perjuangan dan tarbiyah rabbaniyah.
  • Dalam pengoperasian tarbiyah dan dakwah, kita mesti melihat masa depan dengan penuh optimistik, perlu ada fiqh tanabbu’ ( kajian masa depan) agar hala tuju dakwah sampai sasarannya. Kejayaan awal setelah berlaku mukjizat ini ialah peluang dakwah kepada penduduk Yathrib meskipun orang-orang kafir Quraish menolak untuk mempercayainya.
  • Teknologi dakwah perlu dikembangkan dan diinovasikan sebagaimana allah menghubungkan peristiwa ini dengan cakrawala, merentas langit, galaksi dan sains angkasa lepas. Ini menunjukkan dakwah kita perlu memanfaatkan teknologi siber dan ICT, mewujudkan web, akses internet sesuai dengan kepesatan teknologi satelit dan pengaruh globalisasi.

Moga kafilah dakwah terus berjalan menuju mikraj rabbani…

www.maalimfitariq.wordpress.com

Advertisements

15 Mei Memperingati Nakbah Palestin

15 Mei : Mengenang Nakbah Palestin

NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB.

Pencetus penubuhan negara Yahudi

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Yahudi) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Yahudi di Palestin.

Deklarasi Balfour

British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin. Ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ianya mencabuli perjanjian antarabangsa.

Holocaust

Holocaust adalah satu peristiwa yang dirancang secara sistematik oleh Nazi German yang diketuai oleh Hitler dengan kerjasama pemimpin Zionis di Eropah pada ketika itu. Pembunuhan Yahudi di Eropah secara beramai-ramai itu adalah bertujuan untuk mempercepatkan perpindahan Yahudi Eropah bagi mempercepatkan penubuhan negara yang dikhususkan untuk Bangsa Yahudi iaitu di Palestin. Pemimpin Zionis mempunyai terlalu banyak peluang untuk menyelamatkan bangsa Yahudi Eropah jika mereka mahu berbuat demikian. Namun jenayah terancang ini dilakukan demi cita-cita besar mereka untuk membina nrgra Israel dan kemudiannya Israel Raya. Sejak tahun 1933 berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Isu Palestin semakin panas dan mula dibawa ke peringkat antarabangsa di atas tuntutan British yang meminta supaya PBB memasukkan isu tersebut ke dalam agendanya. Laporan Badan Penyelidik Antarabangsa Palestin (UNSCOP) milik PBB telah mengakui tentang ketidak-adilan pengambilan tanah serta cadangan pembahagian bumi Palestin kepada dua buah negara yang berasingan iaitu Palestin dan Yahudi. Namun rentetan duka Palestin semakin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah. Inilah situasi yang boeh dianggap mengharapkan pagar tetapi pagar makan padi.

Kelemahan Liga Negara Arab

Rakyat Palestin adalah antara bangsa yang paling malang di dunia kerana dilupakan oleh PBB, negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Yahudi Zionis erat bekerjasama dengan British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya.

Penglibatan tentera dari Liga Negara Arab yang digembar-gemburkan itu hanyalah merupakan tragedi apabila mereka telah ditewaskan dengan mudah oleh angkatan tentera pengganas Yahudi yang juga telah meresap ke dalam pimpinan tentera Liga Negara Arab.

Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948.

Kemerdekaan Israel adalah Malapetaka Palestin

Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800 000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya. Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.

Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.

Jenayah Ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.

Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.

63 tahun An Nakbah

Kini 63 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan Negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan :

Rejim Zionis terus yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini yahudi telahpun merampas dan menguasai lebih 90 % dari keseluruhan bumi Palestin.

Peningkatan serangan ke atas Masjid al-Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian qiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka mengYahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa dan mendirikan Kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang. Mereka kini telah berjaya membina Kuil Yahudi (Sinagog Hover) bersebelahan dengan masjid al Aqsa

Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang-orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.

Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.

Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

Dijangkakan seramai 6.85 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 63 tahun yang lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai di dalam sejarah peradaban dunia.

Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.

Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Sambutan 63 Tahun kelahiran Israel

Hari Ahad ini, 15 hb Mei 2011 adalah tahun ke 63 kelahiran negara Haram Israel. Memang benar bahawa tarikh ini adalah detik derita bagi umat Islam. Namun saya kurang setuju sekiranya kita berhadapan dengan peistiwa ini dengan rasa sedih dan berputus harapan dengan keadaan umat Islam kini.

Sebenarnya banyak petanda bahawa kemenangan akan berpihak kepada umat Islam dan sampai masanya untuk kita akhiri era sombong mereka itu.

1-Kerajaan zionis Israel semakin panik dengan perkembangan di Timur Tengah, apatah lagi dengan permuafakatan Hamas-Fatah dan fraksi Palestin yang lain.

2-Tumbangnya Mubarak dan persetujuan Kerajaan Semestara Mesir untuk membuka ‘Rafah Gate’ secara kekal.

3-Kesediaan barisan pemuda di Bumi Anbiya melancarkan Intiadah ke 3 dengan pempuran yang lebih dahsyat.

4-Berkurangannya kedatangan pendatang Yahudi ke Palestin. malahan lebih 700 ribu Yahudi telah cabut keluar dari Palestin sejak 9 tahun yan lalu

5-Generasi muda Israel tidak beriman dan tidak berminat denan agenda Zionis apatah lagi berjuang untuknya.

6-Pertambahan penduduk Palestin di Gaza, West Bank & Palestine-1948 jauh melebihi bilangan kelahiran anak-anak Yahudi. Ini merupakan projek bom demografi yang menakutkan zionis untuk angka masa panjang

7-Ekonomi Israel semakin merosot dengan Intifadah Pertama yang dilancarkan pada 1987, Intifadah al Aqsa pada tahun 2000 dan pertembungan yang berterusan selama ini.

8-Sokongan dunia antarabangsa terhadap isu Palestin meningkat. Bukan sahaja di kalangan negara-negara umat Islam bahkan di sebahagian dunia Barat yang lainnya.

Dan sebenarnya banyak lagi petanda yang menunjukkan bahawa Islam akan kembali gemilang dan Zionis bakal berhadapan dengan episod gelap yang akan menguburkan kesombongan mereka selama ini. Pastikan bahawa anda tidak tertinggal daripada gerabak perjuangan yang mulia ini.

Dr Zainur Rashid Zainuddin

Perunding, Aman Palestin Bhd
JK Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seremban
Naib Presiden 1, I-Medik

Membangun Kualiti Umat Melayu

Steven R.Covey mengatakan bahawa manusia sebenarnya boleh berubah melalui perubahan kematangan dalam hidup daripada seorang yang `dependant’ kepada seorang yang ` independent`, daripada cemerlang jika bersendirian kepada lebih cemerlang apabila disinergikan dalam kerja-kerja berpasukan dengan istilahnya` interdependent’.

Seseorang yang independent memiliki tiga sikap utama iaitu sentiasa proaktif, setiap kerja berpandukan ‘big dream’ yang telah distrategikan dan sentiasa mendahulukan kerja yang lebih utama. Inilah tiga sikap yang menjadikan seseorang boleh Berjaya dalam apa juga bidang. Penemuan Covey telah mengubah masyarakat barat.

Sebenarnya saya tidak perlu membawa pendapat barat ini untuk memantapkan artikel saya ini kerana Islam telah memiliki segala-galanya tetapi saya kemukakan juga sebab orang Melayu sanggup membayar yuran lebih seribu ringgit untuk mendengar idea-ideanya.

Dalam al-Quran Allah menegaskan bahawa; untuk mengubah kelemahan sesuatu kaum hendaklah dengan mengubah kelemahan dalaman mereka.

إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu (kelemahan, kehinaan, kemiskinan) sehingga mereka mengubah (kelemahan, kehinaan, kemiskinan) yang ada dalam diri mereka. Ar-Ra’d [13:11].

Kelemahan dalaman adalah kelemahan tasawwur terhadap asas-asas keimanan, kelemahan akhlak dan kelemahan keazaman. Kelemahan dalaman juga adalah kelemahan matlamat hidup dan pelan pelaksanaannya, kelemahan jatidiri dan kelemahan disiplin dalam kerja-kerja berpasukan. Semuanya ini adalah kelemahan dalaman diri manusia.

Umar al-Khattab meriwayatkan bahawa beliau mendengar nabi s.a.w. bersabda, maksudnya:

“ Sesungguhnya setiap kerja bergantung dengan tujuannya, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan..”

Niat dan tujuan adalah objektif dan matlamat yang ingin diperolehi daripada kerja-kerja yang dibuat dalam hidup samaada matlamat di dunia maupun di akhirat.

Amat berbeza orang yang meletakkan matlamat mereka untuk berjaya di akhirat dengan orang yang hanya mengejar dunia. Amat berbeza orang yang bercita-cita untuk membawa Rahmat keseluruh dunia dengan orang yang mementingkan diri sendiri. Amat berbeza orang yang memiliki manhaj yang jelas dalam melahirkan insan yang soleh dengan orang yang menyerahkan urusan pendidikan anak-anaknya kepada pihak lain yang tidak jelas arah tujunya. Amat berbeza orang yang memiliki perniagaan sendiri dan bercita-cita untuk membina emapayar kekayaan untuk ummah dengan mereka yang hanya bekerja membesarkan empayar kekayaan bangsa lain.

Apabila manusia tidak memliki matlamat hidup yang besar mereka akan bergaduh disebabkan perkara remeh seperti kanak-kanak yang bergaduh kerana berebut barang mainan. Apabila manusia dikuasai oleh tabiat yang buruk seperti malas, menyalahkan orang lain berasaskan sangkaan tanpa bukti, takbur, tidak suka merancang, mementingkan diri, kedekut, tiada semangat juang dan sebagainya mereka tidak akan berubah kemana-mana.

Lantas Allah mengubah manusia dengan manhaj tersendiri; sentiasa mendegar wahyu-wahyu Allah, sentiasa menyucikan dalaman mereka daripada syirik, khurafat dan sifat-sifat tercela, mempelajari hukum-hukum Allah dan ilmu kebijaksanaan.

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

Lihat : Al-Jumu’ah [62:2]

Inilah celupan Allah, inilah acuan Allah dalam mengubah Umar al-Khattab, Uthman Affan, Musab bin Umair dan seluruh generasi sahabat radiallahu `anhum. Inilah sibghatullah. Allah Azza wa Jalla telah mengubah generasi sahabat daripada identiti Arab terpencil, tidak dikenali, tidak bertamaddun, berperang sesama sendiri hanya kerana sebab paling leceh menjadi generasi unggul yang telah mengubah sejarah ketamadunan dunia.

صِبْغَةَ اللّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدونَ

Maksudnya: “ Acuan Allah, dan siapakah yang lebih baik daripada Allah acuannya, dan kepadaNyalah kami memperhambakan diri”. Al-Baqara [2:138]

Sebelum Steven Covey Imam al-syahid Hassan al-Banna sudah menegaskan bahawa:

انما تنجح الفكرة إذا قوي الإيمان بها، وتوفر الإخلاص في سبيلها، وازدادت الحماسة لها، ووجد الاستعداد الذي يحمل على التضحية والعمل لتحقيقها

Sesuatu fikrah hanya akan berjaya apabila:

Kuat keimanan kepadanya, wujud keikhlasan dalam meperjuangkannya, semangat yang berkobar-kobar dan wujud persedian yang membuahkan pengorbanan dan amal untuk merealisasikannya

Keimanan yang kuat, keikhlasan, semanagat yang berkobar-kobar dan keazaman untuk bekorban adalah kekuatan dalaman yang menjadi asas kejayaan sesuatu kerja.

Keimanan yang kuat adalah keyakinan kepada fikrah, keyakinan kepada manhaj kerja, keyakinan kepada strategi yang digunakan, keyakinan kepada langkah-langkah yang disusun, keyakinan kepada individu yang memimpin, keyakinan kepada jentera kerja yang berjihad dimedan dan keyakinan kepada diri sendiri yang mampu melaksanakan semua tanggungjawab dengan dedikasi.

Keyakinan kepada mahaj dan strategi adalah berasaskan ilmu dan kefahaman yang saintifik, berasaskan nas-nas al-Quran dan al-sunnah dan kajian sejarah kebangkitan dan ketamaddunan Islam dan bangsa-bangsa. Keyakinan kepada langkah-langkah perubahan kerana telah terbukti dalam sejarah Allah Azzawa Jalla telah merubah generasi sahabat melalui nas-nas al-Quran dengan pimpinan al-Rasul.

Kejayaan dicapai hanya dengan menduplikasikan aktiviti yang telah berjaya dilakukan oleh generasi terdahulu dan memperbaiki kelemahan mereka jika ada.

Maka untuk memindahkan bangsa Melayu yang lemah, miskin, terpaksa bergantung kepada sokongan bangsa-bangsa lain, dipendant adalah dengan kembali kepada acuan Allah.

Sejak penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, sejak penubuhan Penang Free School, sejak penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris barat telah melaksanakan plan strategic berdasarkan ‘big dream’ mereka yang ingin menjadikan bangsa Melayu hanyalah hamba kepada strategi Yahudi. Secara umumnya umat Islam difokuskan agar menjadi umat yang lemah dan tidak mampu mengembalikan kekuatan Khalifah Islam yang telah ditamatkan ditangan Atarturk.

Apakah cita-cita besar umat Islam hari ini? Apakah cita-cita besar bangsa Melayu? Apakah cita-cita besar bangsa Melayu Malaysia?

Saya pernah bertanya kepada seorang pengurus kewangan sebuah syarikat koperat; “ Apakah yang encik ingin wariskan kepada anak-anak encik”?.

Beliau menjawab: “ Saya cuba menyediakan pendidikan terbaik sahaja untuk anak-anak saya manakala duit, pandai-pandailah mereka cari sendiri.. kalau saya tinggalkan harta berjuta kemudian mereka bergaduh kerana merebut harta apa gunanya”.?

Inilah kepercayan majoriti ibubapa hari ini kepada sistem yang mendidik anak-anak mereka. Mereka sendiri sudah tidak yakin terhadap masadepan anak-anak mereka. Mereka tidak yakin kemampuan zuriat mereka untuk mengurus kekayaan atau mereka sebenarnya tidak ada apa-apa agenda?.

Saya juga mendengar bahawa majoriti bangsa Cina telah menyediakan insurance untuk diwariskan kepada warisnya apabila dia meninggal dunia supaya anak-anak mereka boleh membina empayar ekonomi dan kesedaran ini telah wujud dan dimulakan lebih 20 tahun lalu.

Kebanyakan ahli masyarakat barat telah mewakafkan insurance nyawa mereka kepada charity dan persatuan-persatuan muballigh yang telah menggaji petugas-petugas sepenuh masa dalam usaha-usaha dakyah mereka. Sekirannya setiap bulan mereka menyumbang dana tetap untuk charity tetapi selepas mereka meninggal dunia pihak charity mendapat dana `lumpsum’ seolah-oleh setiap orang daripada mereka hidup lagi 100 tahun dan menyumbang.

Apakah yang dimaksudkan pendidikan terbaik itu? Berapa ramai bangsa Melayu lulus diperingkat ijazah masih belum mendapat kerja.? Sudahkah wujud badan-badan dakwah yang mempunyai ribuan tenaga kerja sepenuh masa yang disarahidup oleh dana-dana yang diwakafkan oleh umat Islam dan sebahagiannya daripada dana perlindungan takaful yang diwasiatkan?

Kenapa bangsa kita masih mundur, miskin idea, miskin fikrah, miskin jiwa, tidak berjiwa interdependent sehinggakan rasa kedekut untuk mengkayakan keturunannya sendiri? Malah tidak ada ‘big dream’ dalam perancangan hidup, tiada `big driem’ dalam perancangan kewangannya dan apabila mereka tiba usia bersara mereka terus menjadi mayat hidup dan menyangka amal-amal terbaik yang ingin dihabiskan hanyalah berulang alik ke masjid bagi menunaikan solat fardu . Sejak daripada umur 55 tahun sehingga umur 75 tahun usia dihabiskan dan disia-siakan tanpa agenda.

Puncanya kerana bangsa Melayu tidak mendapat celupan Allah yang sebenar sejak daripada awal-awal kemerdekaan kita. Mereka tidak mempunyai agenda besar yang diperjuangkan sebaliknya hanya dependant kepada agenda yang di tentukan kepada mereka oleh barat sejak merdeka. Apakah bangsa kita akan berubah menjadi lebih baik di masa hadapan jika impian dan sikap mereka tidak berubah?

Bangsa Melayu perlu memiliki ‘big dream’ mereka sendiri berasaskan tuntutan Allah kepada manusia, bangsa Melayu perlu merangka strategi bagi mengembalikan jatidiri Islam sebenar dengan meggunakan manhaj Allah yang telah mengubah generasi sahabat, bangsa Melayu perlu bersikap proaktif dan mempunyai disiplin kerja berorganisasi yang tinggi walaupun ilmu ijtihad mereka sehebat Umar al-Khattab. Semuanya itu hanya akan berjaya melalui perlaksanaan manhaj tarbiyyah yang tersusun mantap dan realistik.

Jika bangsa Melayu berjumlah 14 juta orang. Berapa ramaikah daripada jumlah tersebut yang bebas mengatur masanya sendiri setiap detik? Atau majoriti mereka terikat dengan wawasan orang lain sejak jam 8pagi sehingga 5petang dan dalam tempoh tersebut mereka hanya menjayakan agenda orang lain yang tidak 100% berasaskan sibghatullah?

Introspeksi Dalam Belajar

Salam rindu dan salam perjuangan.

Syukur kepadaNya kerana memberikan kesempatan untuk penulis menulis artikel dalam blog ini. Introspeksi yang dimaksudkan diatas adalah muhasabah diri. Selamat membaca. Moga bermanfaat.

Dari kecil kita dididik untuk menuntut ilmu. Ada yang sejak umurnya 3 tahun sudah belajar di sekolah. Ada yang sejak umur 4 tahun, 5 tahun dan 6 tahun. Alhamdulillah, syukur kita panjatkan kepada Al Khaliq kerana mengurniakan kepada kita terutama rakyat Malaysia kerana diberi kepekaan kepada ibu bapa kita dan kepada kita sendiri untuk sedar akan kepentingan menuntut ilmu sejak kecil lagi. Semoga segala ilmu yang diperolehi  mampu meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.’واتقوا الله ويعلمكم الله’

Sebelum kita pergi lebih jauh dalam tajuk ini, penulis suka untuk kita sama-sama muhasabah kembali diri kita. Beberapa soalan ini, tanyalah diri kita sendiri. Siapakah kita? Dan kita hidup nak apa sebenarnya? Beberapa bait syair karangan Dr Yusuf Qardawi mengingatkan kita mengenai hakikat ini.

Persoalan yang di soal oleh orang yang tertanya-tanya

Semasa mereka sedar dan cerdik boleh berfikir

Dari manakah aku datang?Ke manakah aku hendak pergi?

Kenapa aku dijadikan? Adakah aku hidup kembali?

Fikir kembali siapakah kita sebenarnya dan kita nak apa sebenarnya. Persoalan ini akan membuatkan kita jelas dan yakin bahawa hidup kita ini tidak sia-sia.

Bahkan kita sebenarnya menuju ke sebuah matlamat yang jelas. Matlamat yang akhirnya membuatkan kita menyerahkan segala-galanya untuk jalan menuju redha Allah. Penyerahan  total yang hasilnya Allah meletakkan kita di dalam Jannah Nya dan bersama-sama Rasulullah, para Sahabat, dan juga orang-orang soleh. Allahu Akbar. Allahuma Inna Nasaluka Ridhoka WalJannah, WaJa’alna min ‘Ibadaka Assolihin.

Saudara yang dikasihi,

‘Ada satu kisah ringkas yang menceritakan mengenai seorang insan yang sedang menuntut ilmu dan dalam masa yang sama juga dia aktif dalam persatuan dakwah. Pada salah satu dalam peperiksaan,dia mendapat keputusan yang agak mengecewakan. Walhal, dia sedar dia telah melakukan sedaya upayanya dengan terbaik. Lalu berita ini sampai ke pengetahuan ibu bapanya. Maka ibu bapanya menasihatilah akan si dia agar tumpu betul-betul dalam pelajaran dan tinggalkan aktiviti luar dalam persatuan dan sebagainya. Yang penting berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan supaya senang hendak cari kerja kelak’.

Begitulah kisah seorang mahasiswa yang agaknya hampir kebanyakan daripada kita mengalami maslah yang sama. Daripada pengamatan penulis, dapatlah disebutkan beberapa sebab kenapa manusia belajar dan menuntut ilmu

  • Dipaksa oleh ibu bapa, mengikut adat hidup orang sekeliling, diajak oleh kawan-kawanSekadar lulus dalam peperiksaan bagi menegelakkan keaiban yang bakal berlaku
  • Lulus dengan cemerlang untuk memuaskan hati ibu bapa, atau untuk mendapat sanjungan orang lain, atau supaya dirinya menjadi rujukan, atau mendapat pekerjaan yang bergaji tinggi.
  • Belajar dengan mendalam supaya setiap apa yang dipelajarinya dapat disampaikan kepada mereka yang lain dalam masa yang sama ingin mendapatka pahala orang menuntut ilmu dan pahala orang berdakwah.

Sidang pembaca sekalian,

Dimanakah kita meletakkan niat atau tujuan kita dalam menuntut ilmu. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang keempat. Dan kita memohon agar Allah mengampuni dosa kita jika terdapat kepentingan duniawi dalam menetapkan tujuan kita belajar. Allahuma Ighfirlana Jami’an.

Apa yang ada pada ilmu? Kenapa kita menuntut ilmu? Kita nak apa dari ilmu sebenarnya? Dan andaikata kita berjaya dalam peperiksaan(cth: 8a, 10A+) apa yang kita nak daripadanya? Soalan-soalan sebegini perlu kerap kali ditanyakan agar kita sentiasa berada di trek yang betul dalam menetapkan niat belajar. Apa yang kita nak daripada ilmu adalah supaya diri kita tahu hakikat sebenar sesuatu perkara supaya tidak jahil. Kita ingin diri kita menjadi ulama’ kerana ulama’ adalah pewaris Nabi. Dan kita juga mahukan agar dengan ilmu itu kita mampu mengamalkannya. Dan yang paling besar sekali kita inginkan agar ilmu yang kita ada dapat dikongsikan dengan orang lain agar semua orang mengetahuinya.

Dalam buku Usul Dakwah ada menyatakan bahawa, “Tidak syak lagi bahawa seruan kepada kebaikan, lebih-lebih lagi seruankepada Allah, mesti disertai dengan ilmu. Walau bagaimanapun ilmu bukanlah suatu yang tidak boleh dibahagi atau dipecahkan. Bahkan ilmu itu secara tabiinya adalah terbahagi-bahagi dan terpecah. Kadangkala seseorang itu mengetahui satu masalah tetapi jahil terhadap satu masalah yang lain. Oleh itu ia dianggap ulamak pada masalah pertama, maka wajiblah dia berdakwah dalam bidang yang diketahuinya dan tidak wajib berdakwah dalam bidang yang tidak diketahuinya. Para fuqaha’ bersependapat bahawa ‘siapa yang jahil terhadap sesuatu atau hukumnya, dia tidak wajib berdakwah mengenainya. Ini kerana di antara syarat sahnya dakwah adalah mengetahui dengan baik akan apa-apa yang diserukannya”

Maka, setelah memahami hakikat ini wajib bagi kita untuk melihat kembali niat-niat kita sebelum ini ketika menuntut ilmu. Ada dalam kalangan kita yang menjadikan peperiksaan sebagai hadaf utama sehingga mengabaikan hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang berhak. Kita tidak mahu belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan atau sebagainya. Malahan, kita jadikan lulus dalam peperiksaan sebagai wadah untuk kita mencapai matlamat yang lebih besar iaitu menjadi muallim(orang yang mengajar) ataupun da’ie. Dan inilah yang akan membuatkan kita untuk cemerlang dalam setiap perkara.

Ikhwah sekalian,

Oleh itu, perkara ini perlu difahami dengan jelas. Jadikanlah muntolaq ataupun batu loncatan kita dalam belajar adalah muntolaq RABBANI. Kerana kita tahu Allah pemilik segala ilmu dan segala-galanya. TAJDID NIAT kita setiap kali kita menuntut ilmu. CARILAH WASILAH yang  terbaik dan kemudian BERUSAHALAH bersungguh-sungguh. ‘Apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah’. Ingatlah bahawa ILMU ITU AMANAH. Maka, pikullah amanah ILMU itu dengan sebaiknya. Wallahu ‘Alam.

*Artikel ini ditulis bagi mengingatkan penulis tujuan sebenar menuntut ilmu ketika 2 minggu sebelum menghadapi peperiksaan fasa 1 Kuliah Syariah Islamiyah(tahun 1), Universiti Al Azhar. Perasaan risau, cemas, gementar, takut membuatkan hati penulis tidak tenteram dan akhirnya berfikir kenapa aku belajar, kemana aku nak bawa dengan ilmu ini. Bebanan sebagai seorang pelajar agama amat-amat menguji sejauh mana kita ikhlas dalam menuntut ilmu. Moga bermanfaat. Sekian.

‘Allahumma ja’alna minan najihin fil imtihan, Ya Allah’

Sdr. Mohd Hazrin b. Md. Zainal (Bekas Ketua Lujnah Kaderisasi Badar SDAR 2008) http://nidauljihad.blogspot.com

Kelebihan 10 Hari Pertama Zulhijjah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.” Para sahabat baginda bertanya, “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda, “Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”.

Imam Ahmad r.a. meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya:

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya: Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. Di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Projek Membina Generasi Muhammad al-Fateh

Sultan Muhammad al-Fateh

Ketika Kota Konstantinople telah ditawan, dan waktu Jumaat telah masuk, Sultan Muhammad Al Fateh berkenan untuk memilih imam bagi memimpin solat Jumaat yang pertama di Kota Konstantinople. Namun cara pemilihannya agak unik, beliau memanggil seluruh tenteranya dan meminta mereka semua berdiri dengan teratur.

Setelah semuanya dalam kedudukan yang tersusun, maka dia bertanya kepada tentera-tenteranya:

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu, sila duduk…”

Tidak ada siapa di kalangan anggota tenteranya yang duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat-solat sunat yang utama?”

Ketika ini sebilangan kecil dari anggota tenteranya duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat tahajjud sila duduk.”

Kali ini seluruh anggota tenteranya duduk kecuali beliau sendiri dan akhirnya beliau sendiri yang memimpin solat berjemaah di Kota Konstantinople.

Ternyata beliau adalah orang yang paling soleh dan dekat dengan Allah di kalangan tenteranya, maka benarlah sabda junjungan bahawa yang akan menakluk Konstantinople itu adalah tentera yang terbaik dipimpin oleh pemimpin yang terbaik.

MasyaAllah, jika beginilah kualiti pemimpin dan tentera Sultan Muhammad Al Fateh yang menakluk dan membebaskan Kota Konstantinople dari jajahan Byzantine, maka tidak hairanlah pertolongan Allah akan sentiasa bersama dengan mereka.

Jika kita bertanyakan soalan yang sama pada generasi muda hari ini, mungkin pada soalan yang pertama sahaja telah ramai yang ‘kantoi’ apatah lagi apabila ditanyakan soalan kedua dan ketiga. Mungkin jika ditanya soalan ini kepada kumpulan para pendakwah hari ini pun, belum tentu natijahnya sama dengan apa yang didapati Sultan Muhammad Al Fateh kepada tenteranya.

Hari ini, kita berada dalam satu generasi yang lebih menghafaz nama-nama artis dan pemain bola sepak handalan daripada sahabat-sahabat Nabi dan nama pahlawan-pahlawan Islam sepanjang zaman. Lebih bermaklumat tentang sejarah juara Piala Dunia dari 1930-an berbanding sejarah agung umat Islam. Generasi yang lebih ghairah dan cinta kepada bola sepak berbanding cinta kepada keimanan dan kehidupan Islam yang indah. Generasi yang sanggup bangun malam untuk melihat pasukan kegemaran berbanding bangun malam untuk memohon keampunan.

Ternyatalah bahawa sebenarnya kita masih jauh dengan kemenangan, selagi mana generasi hari ini tidak dididik dengan didikan Islam yang sebenar dan menghayati kehidupan Islam secara total, maka selagi itulah umat akan terus dijajah dan diratah oleh musuh.

Penyelesaian kepada kemelut yang melanda hari ini hanyalah dengan mengembalikan semula jatidiri dan kemuliaan Islam kepada setiap peribadi muslim. Generasi hari ini haruslah dididik untuk cinta kepada keimanan lebih dari cinta kepada hiburan dan kelalaian. Cinta kepada kebaikan dan kesungguhan lebih dari cinta kepada kerehatan dan kemalasan. Lebih cinta untuk membaca Al-Quran dan solat malam berbanding membaca analisis Piala Dunia dan bangun malam kerana bola.

Projek membina generasi Muhammad Al Fateh adalah projek besar yang memerlukan kepada persediaan yang rapi, kesabaran yang tinggi dan kebijaksanaan yang bukan calang-calang kerana generasi yang ingin dibina adalah generasi yang mempunyai kesungguhan dan tekad yang kuat untuk menolak godaan hawa nafsu.

Kita harus mengoreksi diri kita dan memeriksa, apakah kita telah terlibat dalam projek pembinaan generasi Al Fateh. Jika tidak, bagaimana kita harus bermula? Hanya kita sendiri yang boleh mencari jawapannya.

Ramai yang boleh berdakwah, tetapi tidak ramai yang cinta pada dakwah”.