Category Archives: Tazkirah

Pesan Abang Setulus Pejuang

Dari Sibu ke kota Sandakan,
Amanah ditanggung menuntut ilmu.
Mari adik abang kisahkan,
Sejarah agung asal usulmu.

Melukah ikan di Paya Bakong,
Dibuat lauk ketika bersahur,
Tahukah adik tawarikh agung,
Perihal babad Melaka yang masyhur?

Ikan bujuk ikan tilan,
Tenggiri bunga di mata jala,
Ulama dirujuk penegak keadilan,
Negeri sentosa rakyat terbela.

Mengira waktu menghitung saat,
Menanti berbuka di kedai warung.
Hukum Kanun berlandaskan syariat,
Islam tertegak agama dijunjung.

Hinggap jentayu di pohon mertas,
Mencari-cari dahan menasi.
Bahasa Melayu tersebar luas,
Dikongsi-kongsi hingga ke Parsi.

Bulan bukan sebarang bulan,
Bulan mulia dihujani rahmat,
Sultan bukan sebarang sultan,
Sultan adil berjiwa rakyat.

Manggis ranum kemerah-merahan,
Berbagai rupa sedap belaka,
Portugis menyerang bermati-matian,
Berakhirlah sudah kegemilangan Melaka.

Resmi sekadim bergaduh bercanda,
Badan sudah dua senyawa.
Angkara jahanam Inggeris Belanda,
Kaum serumpun terpecah dua.

Melalu denai melintas titi,
Meredah hutan memetik melati.
Jepun menentang separuh mati,
Watan dipertahan sepenuh hati.

Dari Langkasuka ke Putrajaya,
Tentangan ditepis menabur jasa,
Laungan Merdeka menggegar Malaya,
Kemuncak manis pejuang bangsa.

Negara ini bangsanya rencam,
Beruntungnya lahir di tanah bertuah.
Jangan kau lupa peristiwa hitam,
Rusuhan kaum menumpahkan darah.

Menahan kayu memasang pasak,
Disengat tebuan di hujung rimba.
Ketuanan Melayu dihentam diasak,
Siapa yang tuan, siapa yang hamba?

Bilangnya ajal merasa sayu,
Semadi jasad bernesan jawi,
Malangnya nasib berbangsa Melayu,
Menjadi hamba di tanah pertiwi.

Apa guna memetik cempaka,
Kalau bunga dimusnah sarang,
Apa guna erti merdeka,
Kalau jiwa dijajah orang.

Mencari kayu melumat rencah,
Herba ditambah pelazat ramuan.
Sesama Melayu umat berpecah,
Usah bicara soal kemajuan.

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.
– Burhanuddin al-Helmy-


Parang diasah menerang belukar,
Menyabit di sini menebas di sana.
Abang bermadah adik mendengar,
Moga menjadi iktibar bermakna.

Andainya abang menyimpang jalan, janganlah adik terikut leka,
Andainya abang syahid di medan, janganlah adik gundah berduka.
Ketika terasa lesunya iman, ingat kembali syiar Melaka,
Ayuh adik mara ke depan, kita semarakkan jiwa merdeka!

100 Darjah Celcius

Perbezaan antara kecemerlangan dan pencapaian yang biasa dalam kehidupan kita selalunya sangat kecil. Namun imbuhan kecemerlangan atau yang menjadi juara adalah cukup besar jika dibandingkan dengan yang tidak menjuarai sesuatu pertandingan. Air akan menjadi cukup panas pada 99 darjah celsius tetapi dengan perbezaan satu darjah kepada 100 darjah celsius, air akan mula bergelegak (boiling) dan mengeluarkan stim. Keupayaan stim ini dapat mengerakan lokomotif yang beratnya boleh mencakap ribuaan kilogram. Bayangkan… dengan hanya perbezaan satu darjah celsius, air bertukar dari sifatnya yang hanya panas kepada satu jenis gas yang telus (transparent) dan mempunyai kekuatan yang tak terhingga. Stim ini juga boleh menjana kuasa elektrik yang boleh menerangkan satu bandaraya.

Saya ingin berkongsi beberapa contoh 100 degree celsius dalam kehidupan kita sebagai satu perkongsian minda untuk kita semua serta menjadi ingatan kepada diri saya untuk terus memacu kecermelangan dalam kehidupan kita semua, insya-Allah. Saya berdoa agar contoh-contoh ini akan mencetus sedikit motivasi dalaman kita dan terus berazam untuk menjadi hamba Allah yang sebaik mungkin.

100 darjah celsius Akademik
Mendapat A dalam akademik memerlukan markah sekurang-kurangnya 85%. Namun jika kita hanya mampu mendapat 84%, perbezaan yang sedikit ini bakal membezakan kita samada dapat memasuki universiti pilihan atau tidak. Jika kita bangun untuk berusaha memberi komitment 100 darjah celsius dalam pelajaran kita bersama doa, insya-allah kita mungkin akan berjaya mengondol A dalam pencapaian akademik kita.

100 darjah celsius pencapaian
Perbezaan antara Husin Bolt (pemenang pingat emas 100M dan 200M sukan Olimpik 2008) dan pemenang tempat kedua adalah nano saat. Menjadi pemegang pingat perak atau gangsa adalah satu kegagalan dalam sejarah sukan. Tidak ramai yang ingat siapakah yang mendapat tempat kedua dalam sesuatu acara. Untuk menjadi sesaorang yang mencipta sejarah, tempat kedua bukanlah satu pilihan.

Dalam pertandingan golf PGA selama 25 tahun, purata perbezaan pukulan antara pemenang dan tempat kedua adalah kurang dari 3 pukulan, namun perbezaan imbuhan hadiah kemenangan hampir 50%. Lagi sekali, dengan perbezaan sangat kecil antara yang menang dan kalah bolem membawa perbezaan yang cukup besar dari segi balasan.

Perkara yang sama dapat kita perhatikan dalam perlumbaan sukan permotoran Formula 1. Perbezaan masa untuk permenang tempat pertama dan kedua cukup sedikit. Hanya yang terbaik dalam terbaik dapat berdiri di podium bernombor 1.

100 darjah celsius kebolehan
Saya juga ingin berkongsi kisah Nabi Sulaiman AS seperti yang ada dalam Al-Quran yang mana Nabi Allah Sulaiman AS bertanyakan kepada bijak pandai siapa yang boleh membawa istana Puteri Balqis kehadapan Baginda Nabi Allah Sulaiman AS sebelum tibanya Puteri Balqis mengadapnya. Surah Naml ayat 38-40:

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.

Kisah Nabi Allah Sulaiman AS ini memberi penekanan bahawa perbezaan dalam kebolehan memberi kelebihan. Jika dilihat dari darjah kecepatan duduk ke posisi berdiri berbanding dengan kerlipan mata, tidak banyak perbezaannya namun, orang yang berpengetahuan dari Kitab Allah ini telah berjaya membawa singgahsana Balqis ini lebih cepat dari Jin Ifrit.

Kisah di atas memberi pengajaran kepada kita bertapa pentingnya untuk menduduki tempat pertama dalam apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Sikap tidak mudah terima bahawa tempat kedua sudah cukup bakal mencetus motivasi dalaman yang akan terus memacu tenaga, minda serta upaya untuk menjadi insan yang cemerlang disisi Allah SWT, Insya-Allah.

Kita dan Isu Palestin

Sebagai Pendidik

  • Meningkatkan pengetahuan tentang Palestin (geografi, sejarah, dll).
  • Meningkatkan pengetahuan tentang penceroboh Zionis; mereka adalah manusia yang paling memusuhi kita.
  • Mengetahui kedudukan Baitul Maqdis di sisi umat Islam.
  • Mengetahui kefardhuan membebaskan Palestin dan Baitul Maqdis.
  • Mendapatkan segala buku, penerbitan dan keluaran yang mendokong isu ini.
  • Memperelokkan penyampaian maklumat yang diketahui berkenaan isu Palestin kepada anak-anak.

Sebagai Pelajar

  • Diikat akidahnya dengan Masjid Al-Aqsa dan Palestin.
  • Dididik tentang kefardhuan umat Islam membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin.
  • Mengetahui geografi, sejarah dan politik Palestin.
  • Mengetahui kewajipannya terhadap saudara-saudaranya di Palestin.
  • Meningkatkan pengetahuan tentang Zionis dan dididik untuk membenci mereka lantaran mereka adalah manusia yang paling memusuhi kita.
  • Menjadi teladan dari aspek keprihatinan, pemboikotan dan derma.
  • Memperkenalkan isu ini kepada rakan-rakan, jiran tetangga, kaum kerabat dan keluarga.
  • Mendermakan sebahagian dari belanja hariannya dan mengumpul derma daripada rakan-rakan dan kaum kerabatnya untuk Paletsin.
  • Memboikot segala barangan Yahudi atau Amerika, dan mengajak orang lain untuk memboikot.
  • Mempersiapkan kerohaniannya dengan solat fardhu berjamaah, qiamullail dan berdoa.
  • Mempersiapkan fizikalnya dengan praktis latihan fizikal.
  • Mendidiknya dengan sifat berani dan cintakan jihad.
  • Memperkenalkannya tentang faktor-faktor kemenangan dan kekalahan.
  • Membiasakan dirinya untuk berpuasa sehari dalam seminggu.
  • Hidup dengan al-Quran dari aspek bacaan, hafalan, pemahaman dan aplikasi.
  • Menyertai kegiatan-kegiatan sukan dengan nama kota atau syuhada’ di Palestin.
  • Melakukan perjalanan-perjalan an untuk meningkatkan daya tahan dirinya.
  • Menganjurkan dan terlibat dalam persidangan- persidangan khas berkenaan Palestin.
  • Menyertai kegiatan-kegiatan budaya dan kajian berkenaan Palestin.
  • Menghantar mesej peribadi berkenaan Palestin, kepada salah satu majalah atau surat khabar (sekali seminggu).
  • Menyertai radio sekolah dengan berita atau lagu untuk Palestin.
  • Menghafal dan mengulangi lagu untuk Palestin.
  • Menyertai karnival dan keraian berkenaan Palestin.
  • Mengadakan lelongan produk dan barangan anak-anak untuk disalurkan ke Palestin.
  • Menyediakan tabung dan album Palestin dan mempergiatkannya.
  • Terlibat dalam pengagihan album dan tabung, untuk memperkenalkan isu Palestin dan pengumpulan derma.
  • Mengadakan buku skrap gambar dan maklumat untuk meningkatkan keprihatinan dan kesedaran terhadap isu ini.
  • Memilih salah seorang saudaranya di Palestin sebagai ikon heroic, mengetahui maklumat berkenaan dirinya, membawa fotonya di dalam dompet, melekatkan foto itu pada nota, buku, dan meja.
  • Menyakini pertolongan Allah kepada agamanya mengalahkan kebatilan Zionis.

Bagaimana Melayari Internet Dengan Kebersamaan Allah

Salam sejahtera buat semua,

Alhamdulillah atas segala nikmat dan rezeki yang tidak terhitung daripadaNya. Syukur juga keran pada dunia hari ini kita mampu melakukan apa sahaja tanpa perlu bersusah payah dengan wujudnya teknologi yang serba canggih. Bak kata orang, dunia di hujung jari. Itulah internet.

Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan pembina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya. Internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat intraktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.Benarlah seperti firman Allah taala yang bermaksud:

Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.(an Nisa’ 165)
Dan firman maksudnya: dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.(al Baqarah 143).

Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.

Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali???.

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: “biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya”.

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.

1. Sesaorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.
2. Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret ke pada kematianya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.
3. Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan didunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata. Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru.
Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, keadaan dan setiap masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Merealisasikan kebersamaan ini seseorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan “muraqabah” dan “muhasabah” serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut dimana orang yang siuman menjadi bingung, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.(hadis riwayat Ahmad)

Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh. Amin ya Rabbal al- Amin.

Mohamad Hazrin b. Md. Zainal
Bekas Ketua Lujnah Kaderisasi Badar 2008
(Bakal melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar University dalam jurusan Syariah Islamiah)

Syaaban Bulan Keampunan

bulan-syaaban

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut bertempiaran ke mana-mana tempat untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu di gua-gua.

Continue reading

Kuliah Subuh : Berubahlah….

DSC01901

Ahad 12 Julai 2009, Ustaz Mohd Azizee b. Hasan telah menyampaikan Kuliah Subuh kepada para pelajar di Masjid Al-Quds. Antara intipati kuliah beliau ialah :

Continue reading

Orang Kata..

Orang kata..

Hidup ni singkat,

Pejam celik pejam celik, umur dah suku abad,

Tanggungjawab, amanah dah makin sarat,

Hidup makin jauh, kubur dah makin dekat,

Takkan tak reti-reti nak bertaubat?

Continue reading