Misi Khidmat Bakti Ke Aceh : Bersama Peduli Umat

Pada tahun ini Badan Agama Dakwah & Rohani Sekolah Dato Abdul Razak (BADAR SDAR) telah berjaya mengadakan suatu misi kemanusiaan iaitu Program Khidmat Bakti Ke Aceh buat julung kalinya pada 29 April,30 April dan 1 Mei 2011. Program yang buat julung kalinya diadakan ini mendapat kejasama Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) Lembaga Kemanusiaan Indonesia Aceh dan telah disertai oleh seramai 17 orang pelajar berserta 5 orang guru pengiring. Objektif utama program ini diadakan adalah bertujuan membantu anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Ar-Raudhah,Lhokseumawe yang rata-ratanya merupakan kanak yang terselamat daripada tsunami. Destinasi yang kami tujui adalah bermula dari Aceh terus ke Kota Lhokseumawe yang merupakan tempat rumah anak yatim tersebut dan seterusnya ke Medan yang merupakan destinasi kami yang terakhir sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Pengembaraan kami bermula pada 29 April 2011. Pada jam 9.00 pagi,kami bertolak dari SDAR menuju ke LCCT. Setelah selesai segala urusan penerbangan, kami selamat berlepas ke Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda,Aceh jam 12.00 tengah hari dan selamat tiba pada jam 1.30 tngah hari. Kemudian kami dibawa untuk menikmati makan tengah hari di sebuah kedai yang diberi nama Bunda Penta Pirak yang menyediakan masakan melayu. Seterusnya, kami dibawa melawat ke tanah perkuburan Masal atau Kubu Masal yang menmpatkan 64 000 orang yang maut dalam tragedi tsunami. Kami dibawa melihat beberapa kesan tsunami yang berlaku seperti kapal PLTD Apung 1 seberat 50 kilotan yang terdampar di daratan setelah dibawa arus tsunami sejauh 5 km dari laut. Kami menunaikan solat asar di Masjid Baitul Rahman yang juga merupakan antara salah sebuah masjid yang terselamat daripada bencana tsunami. Kami diberitahu oleh penduduk setempat bahawa ketika tsunami berlaku, masjid ini tidak dimasuki air SUBHANALLAH. Seterusnya kami bergegas ke terminal bas untuk bergerak ke destinasi kami yang kedua iaitu di Kota Lhokseumawe. Selesai solat maghrib & makan malam, perjalan kami yang mngambil masa lebih kurang 5 ke 6 jam bermula.

Kami tiba di Kota Lhokseumawe tepat jam 3.00 waktu tempatan iaitu bersamaan 30 April 2011. Kami dibawa terus ke Rumah Anak Yatim Ar-Raudhah kira-kira 3km daripada Stesyen Bas Lkokseumawe. Sebaik sahaja tiba, kami diberi peluang untk menyenyakkan diri buat sketika sbelum melakukan aktiviti yang seterusnya. Selepas solat suboh, kami dibawa bersiar-siar keliling kawasan tersebut dan kami diajak oleh Bapak Hamdani ST iaitu Pengurus Rumah Anak Yatim Ar Raudhah untuk menikmati sarapan pagi di sebuah warung yang berhampiran. Tepat jam 9.00 pagi, kami memulakan aktiviti dengan acara penyembelihan 2 ekor kambing yang disumbangkan oleh pihak SDAR untuk hidangan makan tengah hari. Acara penyembelihan tersebut telah diketuai Ustaz Zanuri. Semua AJK Badar telah diberi peluang melapah daging kambing yang dikorbankan. Pada sesi berikutnya iaitu kira-kira jam 11.30, kegiatan gotong royong telah dijalankan. Sesi kali ni pula telah diketuai saudara Irshad Haris. Dalam aktiviti ini, kami telah membanting tulang mengecat rumah serta membersihkan halaman rumah anak yatim tersebut. Jam 12.30 tngah hari, kami telah dihidangkan dengan masakan Kari Kambing Aceh bersama sambal belacan sebagai juadah makan tengah hari. Makanan tersebut telah dimasak oleh anak-anak yatim yang terdiri daripada kaum hawa dengan bantuan pengasuh mereka. Selesai solat zohor, kami meluangkan masa sebentar untuk bersantai serta beramah mesra dengan anak-anak yatim di sana. Pada waktu petang,sekitar jam 5.00 kami bersama-sama anak-anak yatim bergerak ke sebuah pantai untuk aktivi riadhah. Aktiviti riadhah ini dimulakan dengan tarian ’Banana Dance’ yang diketuai oleh saudara Syahman. Seterusnya, satu permainan telah dijalankan iaitu Empayar Pasir. Aktiviti ini sama seperti membina istana pasir tapi kanak-kanak ini perlu menggunakan kreativiti mereka untuk membina satu empayar yang nampak menarik dan gah dengan menggunakan pasir. Permainan ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada pasukan wanita. Majils Penyampaian cenderahati telah dilansungkan dan telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SDAR, Encik Muhamad Yazid Bin Abdul Wahab kepada pengurus Rumah Anak Yatim Ar-Raudhah, Bapak Hamdani ST. Setelah seharian kami di Lhokseumawe, kami meneruskan pengembaraan ke Medan yang mengambil masa 7 jam perjalanan.

Pada keesokan harinya bersamaan 1 Mei 2011, kami selamat tiba di Bandar Aceh. Kami dibawa ke pejabat PKPU yang bekerjasama menjayakan program bagi tujuan menguruskan diri. Kami kemudian berpeluang bersiar-siar menikmati keindahan Bandar Medan. Antara tempat menarik yang sempat kami tujui adalah seperti Istana Mainon dan Pasar Medan di mana tempat kami ber’shopping’ sakan sebelum pulang ke tanah air. Kami berlepas dari Lapanagn Terbang Medan ke LCCT pada jam 10 malam. Alhamdulillah kami selamat tiba di tanah air pada jam 12.00 pagi. Maka berakhirlah sudah pengembaraan kami selama 3 hari 2 malam di bumi Aceh, Indonesia.

Sekalung penghargaan serta jutaan terima kasih kepada pentadbiran sekolah terutamanya Tuan Pengetua Cemerlang, Tuan Hj Zakaria Bin Md Zin kerana telah sudi membenarkan kami mengadakan misi kemanusiaan ini yang kali pertama diadakan. Tidak lupa juga kepada guru-guru penasihat BADAR serta AJK BADAR yang telah banyak membantu dalam menjayakan program kali ini. Tidak lupa juga kepada semua warga SDAR yang terlibat secara lansung mahupun tidak lansung.

Leave a comment