Daily Archives: October 20, 2009

Badar Bersama Mendidik dan Berbakti

DSC03164

Ucapan Dasar Presiden BADAR 2009

BADAR – Bersama Mendidik & Berbakti

Sdr. Mohd Taufik b. Othman

Assalamu’alaikum wbth

Pengerusi Majlis,

Yang Berbahagia Tn. Hj. Azam b. Md Atan

Pengetua Cemerlang Jusa C Sekolah Dato’ Abdul Razak

Penolong-Penolong Kanan, Guru-guru Ketua Bidang, Guru-guru penasihat

Barisan pimpinan Exco BADAR, ahli-hali Badar, para pemerhati, para jemputan dan hadirin sekalian.

Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana mengizinkan kita untuk menjayakan Muktamar Tahunan BADAR  kali ke-4 pada tahun ini.  Selawat dan salam kita sampaikan kepada junjungan yang mulia, Nabi Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat serta mereka yang berada di jalan dakwah.

Saya juga mengalu-alukan kehadiran Tn. Pengetua Cemerlang, guru-guru, rakan-rakan jemputan seterusnya ahli-ahli Badar yang hadir pada hari ini.  Di atas kehadiran dan komitmen ahli-ahli BADAR pada kali ini.  Saya ucapkan jaza kumullahu khairan kathira, tahniah dan amat menghargai pengorbanan berkenaan.

Ahli-ahli Badar yang dihormati sekalian
1. Perubahan demi perubahan semakin mendewasa dan mematangkan kita. Peranan dan tugas kita semakin besar. Kerja-kerja yang kita laksanakan selama ini tanpa jemu dan bosan telah meninggalkan impak yang tidak sedikit meskipun dalam keadaan-keadaan tertentu, kita tidak punya kekuatan apa-apa lagi selain kekuatan doa dan harapan kita kepada Allah SWT. Ukhuwwah dan kasih sayang yang dipupuk, disemai dan dibina selama ini menjadikan kita bertambah cekal dan tabah untuk terus menerus menampilkan diri, menyeru dan mengajak pelajar kepada suatu kehidupan yang lebih baik dunia dan akhirat.

2. Tahun lalu Sdr. Fadhil b. Basery telah memberikan ucapan dasar beliau bertemakan “Membina Generasi Soleh wal Musleh”. Beliau telah menggariskan hasrat ,sejarah dan peranan BADAR. Tema ucapan dasar Muktamar BADAR pada kali ini ialah BADAR – Bersama Mendidik dan Berbakti. ‘Mendidik dan Berbakti’ telah menjadi dasar penting BADAR sejak tahun 2006 lagi. Dasar mendidik dan berbakti merupakan elemen penting dalam menyuburkan dakwah dan memacu perubahan kepada warga pelajar SDAR. Tanpa sifat mendidik dan berbakti, tidak mungkin kemampanan sahsiah pelajar terbentuk sebagaimana yang terungkap dalam slogan SDAR “Berilmu untuk berjasa”.Elemen mendidik dan berbakti harus menjadi focus dan keutamaan semua ahli-ahli dan penggerak Badar. Kita harus merasakan bahawa kita adalah sebahagian daripada masyarakat kecil SDAR, mendidik dan membentuk akhlak dan jatidiri mereka seterusnya sedia berkorban dan berkhidmat untuk mereka tanpa mengira masa dan ketika. Kita harus sinonim dengan warga pelajar SDAR.

 3. Bersama dalam tema di atas bermaksud membangunkan kerjasama atau taawun    atas dasar penghayatan iman yang mendalam dan ukhuwwah yang sejati. Di sana mesti ada dan nampak kerjasama antara ahli dalam setiap kerja atau amal yang dilaksanakan. Bukan sekadar dakwaan atau retorik tapi dijelmakan dalam bentuk praktik dan tindakan. Wujud semangat kerja berpasukan tanpa ada rasa tidak selesa apatah lagi perasaan negatif antara satu sama lain. Kesemuanya bergerak menuju satu hadaf, satu cita-cita dan satu azam iaitu untuk mencari keredhaan Ilahi. Elakkan perpecahan kerana berpecah tidak mempunyai kekuatan, tetapi sedikit yang bersatu (dalam hakikatnya) itulah yang memiliki kekuatan.  Manakala Mendidik ialah proses membawa, mencipta, menjana dan merealisasikan perubahan, mengenali dan menggembeling seluruh potensi diri yang ada dan merancang ke arah kecemerlangan. Mendidik melibatkan ta’adib, tarbiah, ta’alim dan irshad. Pendidikan semestinya tidak sama dan tidak akan sama dengan pelajaran. Proses pendidikan melahirkan manusia atau insan yang terbentuk aqal,  budi dan jasadnya atas asas iman kepada Allah SWT.  Dalam BADAR, mendidik harus mengambil kira kesesuaian antara apa yang disasarkan dengan potensi yang dimiliki individu serta persekitaran yang ada dan biah yang dihajatkan. Barulah output daripada proses pendidikan itu akan mempengaruhi perkembangan organisasi pada masa depan. Program yang disusun dan dilaksanakan dari masa ke semasa seperti halaqah, daurah, rehlah, mukhayyam, qiam, nadwah dan mu’tamar merupakan medan, sarana dan ramuan-ramuan  penting untuk melahirkan jiwa-jiwa yang kental yang sanggup mengharungi jalan yang disifatkan sebagai panjang, mendaki dan penuh ranjau. Melalui dan melibatkan diri dengan jalan-jalan ini semestinya diambil serius setiap ahli.

4. Pendidikan selalunya dikaitkan dengan kasih sayang. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, ‛Man la yarham, la yurham’ yang bermaksud ‘Barang siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi’ (HR Muslim). Menyayangi tidak dapat dipisahkan daripada perbuatan baik bagi menzahirkan rasa kasih sayang, hormat dan berjasa dalam menawarkan sesuatu yang memberi faedah. Daripada kasih sayanglah terbitnya keinginan untuk berbakti. Manakala berbakti semestinya diasaskan pada hati yang bersih, suci dan ikhlas kerana Allah SWT dan untuk mencapai keredhaan Allah SWT.  ‘Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai’ (Ali Imran 3: ayat 92).

Berbakti diberikan sehingga ke peringkat kita rasa bahagia apabila berbakti. Rasa bahagia dengan memberi khidmat untuk melihat orang lain bahagia.  Bahagia bukan sahaja nampak pada ekspresi wajah dan tubuh tetapi pada penghayatan di hati. Orang yang bahagia adalah orang yang dapat menikmati dan merasai kemanisan hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dalam realiti masyarakat hari ini, rasa bahagia muncul apabila orang memberi khidmat kepada kita. Ada orang memberi wang ringgit, kita rasa bahagia dan gembira. Ada orang memberi bantuan tenaga, kita rasa bahagia dan ceria. Namun rasa bahagia seperti ini tidak sempurna kerana sebaik-baiknya ialah kita menjadi golongan yang bahagia dalam memberi. Dalam keadaan tidak ramai orang yang berusaha, bersedia dan rela untuk memberi, kita berlumba-lumba, dengan kemampuan yang ada untuk membantu orang lain. Bantuan diberi tanpa meletakkan harga dan disusuli ungkitan.Usaha mempelopori bantuan Selamatkan Gaza, mengumpul dana bagi ahli keluarga pelajar meninggal, sumbangan kepada anak-anak yatim, sumbangan kepada pelajar yang miskin adalah menifestasi solidarity kita kepada saudara seislam.

5. Bersama mendidik dan berbakti melambangkan kebesaran dan kemuliaan jiwa dapat dilihat dari kerelaan memberi pengorbanan dan bersusah payah bagi mendapat redha Allah SWT. Orang yang berjiwa besar sentiasa bersungguh-sungguh berusaha membaiki diri, meningkatkan potensi diri dan tabah semasa menghadapi saat-saat sukar. Beliau juga cekal dan tidak membiarkan diri hanyut dalam kesedihan dan kekecewaan.

Ahli-ahli Badar sekalian,

6. Sudah hampir 4 tahun organisasi Badar berdiri, pelbagai onak dan raujau telah ditempuhi. Namun banyak kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Memerhati dengan dekat telatah dan sikap pelajar SBP, hambatan dan cabaran pendisiplinan, maka ia menuntut kepada satu perubahan anjakan paradigm. Ini kerana sistem pendidikan yang ada pada hari ini,  kita lihat sistem pendidikan sedia ada terlalu memberi tumpuan kepada peperiksaan dan memenuhi pasaran kerja semata-mata.  Akibatnya sistem pendidikan tidak mampu melahirkan insan yang terdidik, boleh mendidik dan berbakti kepada masyarakat. Sama ada di dalam atau pun luar negara, sistem pendidikan sedia ada tidak berupaya melahirkan individu terpelajar yang mempunyai jiwa luhur yang ingin berbudi dan berbakti. Harvard University sendiri dalam konteks ini pernah digelar secara sinis sebagai ‘Harvard produces the brain without soul’.

7. Jadi, kita hendak membina individu yang mempunyai kemampuan mendidik dan boleh berbakti melalui sistem pendidikan yang kita lakukan ketika ini.  Para pelajar yang melalui proses pendidikan kita itu diharap boleh menjadi insan berkualiti dalam semua segi- intelek, fizikal dan spitritual. Kita sedar, banyak cabaran yang kita tempuh dengan baik. Namun kita tetap istiqamah, berdoa dan terus bekerja dengan hikmah dan bijaksana supaya individu yang lahir dalam sistem ini adalah individu serba boleh dan dapat pula berbakti kepada masyarakat.

Ahli-ahli badar sekalian, 

8. Dengan tema Badar- mendidik dan berbakti, kita juga harus mempersiapkan diri dengan kekuatan ilmu dan kemahiran. Kita juga harus meningkatkan pencapaian akademik kita disamping berusaha bersama meningkatkan kecemerlangan pelajar SDAR samada aspek kurikulum, sahsiah dan kepimpinan  dan kokurikulum . Harus kita sedari bahawa matlamat penubuhan SBP ialah melahirkan barisan pelapis negara pada masa depan.Atas dasar itu  ahli-ahli Badar harus menyemat semangat mendidik dan berbakti di mana kita berada agar kita dapat memberi pulangan semula kepada pihak sekolah, masyarakat dan Negara. Program Kem Sahsiah Tingkatan Satu yang telah dijalankan oleh alumni Badar 2008 adalah merupakan perintis awal. Tidak termasuk sumbangan dalam bentuk individu dari lepasan Badar yang telah berperanan di kolej-kolej dan institusi-institusi pengajian tinggi.

DSC03075

Para ahli Badar  yang dihormati sekalian,

9. Pelbagai aktiviti dan perancangan telah kita jayakan pada tahun ini.Tetapi usaha mendidik dan berbakti ini tidak terhenti di medan ini sahaja. Jadikan diri kita umpama pepatah melayu “  benih yang baik, jika dicampak ke laut menjadi pulau”. Semoga kita berterusan mendidik dan berbakti ke arah memakmurkan dunia dan ke arah mencapai kesejahteraan hidup akhirat. Sejahtera diri dan keluarga kita, sejahtera masyarakat dan negara kita.

Kita telah meletakkan 4 garis dasar perancangan aktiviti yang berpaksikan kepada elemen berikut iaitu :

  1. Keberkesanan pengurusan organisasi
  2. Pemantapan kualiti ahli
  3. Pemerkasaan aktivisme dakwah
  4. Pengukuhan dana

Semua lujnah bertanggungjawab menyusun aktiviti berasaskan elemen tersebut agar inspirasi mendidik dan berbakti dapat direalisasikan.

10. Dalam buku ‘Developing The Leaders Around You’ oleh John C. Maxwell, beliau berkata: ‘Tidak ada organisasi yang boleh berjaya tanpa barisan kepimpinan yang baik. Peranan pemimpin yang paling utama ialah melatih dan membentuk barisan pelapis seterusnya memimpin orang lain pula. Modal insan adalah aset paling berharga kerana sistem sampai masanya menjadi usang, bangunan menjadi  buruk dan mesin menjadi haus tetapi modal insan dapat berkembang, terus membangun dan menjadi lebih produktif dan efektif jika organisasi memiliki barisan pemimpin yang baik yang memahami nilai yang ada pada pengikutnya.’ Sesebuah organisasi tidak dapat meningkatkan nilai atau produktiviti tanpa memiliki sumber manusia yang berkualiti. Potensi organisasi berkait langsung dengan potensi modal insan.Maknanya, membentuk pemimpin dan kepemimpinan mesti dilaksanakan agar  organisasi benar-benar boleh berfungsi dengan cemerlang. 

11. Dalam mendidik, Rasulullah SAW memberi latihan komprehensif tentang nilai-nilai agung (sublime values) seperti semangat berpasukan, persaudaraan, menyayangi orang lain kerana Allah SWT, membersihkan hati, berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan diri kepada Allah SWT, menyayangi negara dan masyarakat, dan mengambil berat serta memahami perkembangan dunia semasa.

12. Setiap saat kehidupan yang dilalui, kita akan ditanya di hadapan Allah SWT. Kita bertanggungjawab ke atas tindak-tanduk yang dilakukan. Usaha-usaha kita bersama dalam mendidik dan berbakti kepada diri, rakan-rakan, sekolah,keluarga dan masyarakat adalah amal yang sangat bermakna untuk kita bawa bertemu Allah SWT nanti. Kita memohon mudah-mudahan Allah SWT akan memberi petunjuk-Nya semasa kita bekerja ini supaya dipermudahkan kerja-kerja kita. Marilah kita bersama-sama  bersatu di dalam saf yang kukuh, menyegerakan tanggungjawab persaudaraan dengan rasa kasih dan sayang, menghargai, bantu-membantu, lengkap melengkapi, mengutamakan orang lain, merasai bahagia dengan memberi dan bekerja menyebarkan dakwah di mana-mana sahaja.

13. Akhirnya, saya berdoa supaya kita dapat melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan ini dengan baik dan berkesan. Saya mewakili sof kepimpinan BADAR 2009 memohon dan maaf sepanjang mengendalikan organisasi dan memimpin anda semua. Kepada pimpinan baru, teruskan mendidik dan berbakti kepada warga SDAR dan sekolah . Mudah-mudahan latihan praktis dari platform Badar ini akan menjadikan kita kita insan yang berguna di dalam masyarakat nanti. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita demi memartabatkan maruah bangsa, negara dan ad-Din.  Insha Allah.

Wabillahi taufiq wal hidayah Wassalamu’alaikum wbth

Badar Sana Sini

Ahli-ahli Badar di dalam keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 16 Oktober 2009 kerana menghadiri jamuan raya di Masjid Bandar Baru Senawang anjuran pertubuhan dakwah iaitu  Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban.

sinar

DSC03095

DSC03103

DSC03124

Persembahan nasyid semasa perasmian Pusat Komuniti Taman Politeknik Port Dickson.

DSC03258

DSC03255

Sekitar Mesyuarat Agung Badar 2009

DSC03020

DSC03040

DSC03036

DSC03031

Mantapkan institusi USRAH – Pesanan Pengetua

DSC03177Pada 17 Oktober yang lalu Muktamar Sanawi Badar Kali Ke 4 telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tn. Hj Azam b. Md. Atan Pengetua Cemerlang Jusa C Sekolah Dato’ Abdul Razak. Muktamar tersebut telah dihadiri Penolong Kanan HEM Tn. Hj Sahak. Guru Ketua Bidang, guru=guru penasihat, guru-guru, bekas presiden Badar, HICOM pelajar dan ahli-ahli penggerak Badar. Ucapan Dasar yang bertemakan “ Badar Bersama Mendidik dan Berbakti ” telah disampaikan Sdr. Mohd Taufik b. Othman yang menekankan tugas dan peranan Badar ialah mendidik para pelajar agar berbakti kepada sekolah, masyarakat dan negara. Mereka adalah bakal pemimpin masa depan.

Acara kemuncak ialah perasmian Muktamar oleh Tn. Hj Azam b. Md. Atan yang menekankan kepentingan institusi usrah dalam membangunkan sahsiah dan watak pelajar SBP. Badar harus menggerakkan dakwah ke seluruh warga pelajar dan tidak mewujudkan budaya keterasingan dengan kelompok pelajar lain. Beliau menegaskan sehingga ke saat ini beliau masih lagi berusrah dan inilah yang menjadi benteng dari terjebak kepada perkara negatif.

DSC03193Majlis Muktamar diserikan dengan pengumuman pelantikan Presiden Badar 2010 iaitu Sdr. Ahmad Syafiq Aizat b. Nazri dan jawatankuasa tertinggi Badar 2010. Tuan Pengetua telah menyampaikan hadiah–hadiah penghargaan kepada AJK Badar 2009 dan anugerah pertandingan yang telah dijalankan. Seterusnya muktamar diakhiri dengan tayangan montaj,persembahan nasyid dan jamuan makan.

Muktamar ini juga turut dihadiri oleh dua orang bekas Presiden Badar iaitu Sdr. Muhd Harith b. Mohamad Kamaludin (Presiden 2007 – sekarang persedian ke luar negara di Kolej Mara Seremban bidang Kejuruteraan) dan Sdr. Fadhil b. Basery ( Presiden 2008 – sekarang persedian ke luar negara di Intac Shah Alam bidang Farmasi).

DSC03166DSC03167DSC03171DSC03189DSC03243DSC03245